Cuepacs gesa naik gaji penjawat awam 30 hingga 50 peratus - Utusan Malaysia

Cuepacs gesa naik gaji penjawat awam 30 hingga 50 peratus

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan penjawat awam selepas Perjumpaan Perdana Menteri bersama penjawat awam di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menaikkan gaji 1.6 juta penjawat awam khususnya melibatkan kumpulan pelaksana sekitar 30 hingga 50 peratus di samping mengekalkan inisiatif-inisiatif yang diumumkan kerajaan terdahulu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Zulkifli Mohamed berkata, gaji kakitangan kerajaan bukan dilihat masih rendah, tetapi, tidak disemak sejak 2007 iaitu ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu menyaksikan kenaikan gaji minimum kakitangan awam daripada RM800 kepada RM1,200.

Sehubungan itu, beliau melihat kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tiba masanya untuk menaikkan gaji penjawat awam apatah lagi di saat kenaikan kos sara hidup dan barangan sejak kebelakangan ini.

“Di samping mengekalkan inisiatif terdahulu, malah, kerajaan perlu tambah baik dengan menaikkan gaji penjawat awam dan menyemak kadar gaji minimum penjawat kepada RM1,800.

“Hal ini kerana gaji minimum kakitangan kerajaan masih pada kadar RM1,200 sekali gus menjadi tercorot berbanding negara lain Asia Tenggara serta tidak berbaloi dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat pada setiap tahun,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat memohon kerajaan dapat mengekalkan inisiatif untuk penjawat awam yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-18 pada 30 Ogos dan pembentangan Bajet 2023, 7 Oktober lalu.

Ia membabitkan seperti Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Khas RM100 dan Bantuan Khas Kewangan RM700 mulai Januari 2023 serta Bantuan Khas Kewangan untuk pesara berjumlah RM350 dan Bantuan Khas Aidilfitri RM600 mulai Mac 2023.

Kelmarin, Perdana Menteri memberi jaminan dasar dirangka pentadbiran terdahulu akan diteruskan jika ia baik dan tidak bermasalah.

Dalam pada itu, Zulkifli merangkap Presiden Gabungan Kesatuan Sekerja Universiti-Universiti Awam Malaysia (Gakum) berkata, gaji penjawat awam sudah dilihat tidak relevan dengan situasi semasa dan kadar itu perlu disemak selaras peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP).

Paling menyedihkan, katanya, jumlah itu hanya bertahan tidak sampai tiga hari selepas menerima gaji pada hujung bulan dan membayar pelbagai perbelanjaan termasuk sewa rumah, kos makan minum dan pendidikan anak-anak.

“Ini tidak termasuk potongan pinjaman bank dan sewa kuarters, baki itulah yang tinggal itulah untuk menyara mereka dan keluarga. Apatah lagi serba-serbi barang sudah meningkat tetapi gaji tidak pula meningkat,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya bersama Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia akan menghantar surat untuk mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri bagi mengemukakan cadangan penambahbaikan gaji dan kemudahan penjawat awam dalam masa terdekat.

“Kerajaan bukan sahaja kena kekalkan pengumuman inisiatif terdahulu, tetapi tambah baik demi kebajikan 1.6 juta penjawat awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya