PUTRAJAYA: Usaha membenih dan menyemai budaya perpaduan tidak hanya terletak di bahu pemerintah semata-mata.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap rakyat memainkan peranan yang ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu-padu.
Pada masa sama, beliau meminta agar mesej atau seruan yang berbaur kebencian dan cubaan untuk mengapi-apikan perbedaan mesti dibenam dengan sikap kasih sayang dan rahmah.
“Semoga sambutan Krismas pada tahun ini lebih meriah serta dapat membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada negara Malaysia yang terbilang dan rakyatnya yang cintakan keadilan.
“Kepada yang pulang ke kampung halaman, saya seru untuk waspada dan berhati-hati di jalan raya,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismas menerusi Facebook beliau hari ini.
Anwar berkata, Hari Krismas atau Hari Natal adalah hari besar buat penganut Kristian dan mereka meraikannya dengan keluarga dan sahabat setiap tahun.
Kata beliau, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan rencam budaya, adalah menjadi kebiasaan dan kewajipan setiap kita untuk mengambil kesempatan ini untuk mengeratkan silaturahim antara rakyat dengan mengucapkan kata-kata yang indah buat mereka. – UTUSAN