PETALING JAYA: Pelakon, Catriona Ross tetap kekal bertenang walaupun soalan yang dilayangkan kepada seorang peserta All Together Now Malaysia (ATNM) musim kedua, malam tadi disambut dengan jawapan kurang menyenangkan.
Selepas peserta perempuan berusia 16 tahun tersebut selesai membuat persembahan, Catriona bertanyakan soalan sama ada dia meminati lagu Ku Milikmu nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Namun, jawapan yang diberikan secara spontan oleh peserta bernama Fieqa benar-benar mengejutkan kesemua barisan 50 juri yang mengadili pertandingan tersebut.
“Mestilah minat, kalau tak kenapa saya bawa lagu ini,” kata Fieqa.
Jawapan yang agak mengejutkan itu menyebabkan Catriona terpanggil untuk memberikan nasihat kepada peserta itu di belakang pentas.
Catriona memberi teguran secara berlembut supaya remaja tersebut menjaga tutur kata, belajar hormat, jaga disiplin dan merendah diri sekiranya ingin berjaya pada masa depan.
“Cara kita bercakap melambangkan karakter kita yang sebenar dalam hidup. Sebagai manusia, kita juga perlu belajar menghormati orang lain supaya disenangi dan diingati orang lain,” katanya.
ATNM musim kedua disiarkan sejak 11 Disember lalu di saluran Astro Ria dengan mengekalkan juri lama dan barisan 13 juri baharu seperti Ajai, Shila Amzah, Nikki Palikat serta Marsha Milan.
Datuk Syafinaz Selamat pula dilantik sebagai kapten juri baharu.