CYBERJAYA: Program Car Boot Sale yang berlangsung baru-baru ini berjaya menarik ramai pengunjung terutama mereka yang mahu bertemu empat mata bersama selebriti pilihan yang turut hadir dalam program tersebut.
Berlangsung di DXN Cyberville, Cyberjaya, program beramah mesra dengan peminat sambil berjualan antara tarikan utama buat barisan selebriti yang menyertai acara jualan.
Penyampai radio Suria FM, DJ Lin berkata, penganjuran acara tersebut adalah satu usaha yang wajar diteruskan bagi merancakkan aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat selepas pasca pandemik Covid-19.
“Saya percaya aktiviti seperti itu memberikan banyak manfaat dalam merapatkan lagi jalinan antara selebriti dan peminat khasnya.
“Malah, saya juga percaya acara sama seperti Jelajah 90 Suria FM misalnya antara faktor penyumbang kepada kejayaan kami menambah bilangan pendengar sehingga 3.5 juta pendengar seminggu,” katanya yang juga Pengurus Besar Suria FM.
Selain DJ Lin, beberapa selebriti lain antaranya Lan Solo, Izreen Azminda, Fakhiez BSD, Syed Ali, Wanna Ali dan Pian Ali turut menjayakan acara Car Boot Sale tersebut.
Bagi Lan Solo pula, julung kali menyertai acara jualan seumpama itu memberi terujaan kepadanya apatah lagi berpeluang menjual dan memperkenalkan produk makanan dari Borneo.
“Terima kasih kerana menjemput kami dan sokongan daripada pembeli terutamanya produk keropok asap yang tular dan diminati ramai,” katanya.
Selain daripada jualan, antara aktiviti menarik pada acara tersebut adalah persembahan daripada penyanyi Azdrin Azhar dan buskers, pertandingan mewarna dan kemunculan badut Awang The Clown.
Pengurus acara tersebut, Mellina Tajudin berkata, berdasarkan sambutan yang diterima, pihaknya akan menjadikan Car Bootsale itu sebagai acara bulanan bermula tahun depan.
“Sambutan yang diterima sangat memberansangkan daripada peniaga, selebriti dan juga pengunjung. Pihak kami berbesar hati untuk menjadikan Car Boot Sale ini sebagai acara bulanan.
“Bukan sekadar jualan, acara ini menyediakan pelbagai aktiviti buat seisi keluarga termasuk kanak-kanak. Oleh itu, pengunjung pelbagai peringkat usia dapat menikmati acara ini,” ujarnya.