JALAN yang dilalui sebuah kugiran boleh jadi pelbagai. Ada yang bergerak dengan sangat profesional, semua langkah disusun pengurus atau syarikat rakaman. Ini kugiran yang melayan seni mereka seperti kerjaya tetap.
Ada juga kugiran yang menjadikan seni mereka sebahagian daripada kehidupan. Kugiran sebegini lebih rapuh perjalanannya, ia boleh berubah mengikut situasi hidup setiap ahli.
Hidup manusia bagai roller coaster – ada naik, ada turun. Kugiran yang merapuhkan seni mereka untuk dipengaruhi pengalaman hidup juga akan mengalami turun naik, malah pengalaman nyata di alam realiti akan mempengaruhi bentuk karya mereka.
Mungkin langkah ini menjadikan kugiran kurang stabil tetapi ia dapat menjamin satu hal – kejujuran berkarya. Bagaimana kugiran memudahkan karya mereka dipengaruhi kehidupan, begitu juga karya mereka akan mudah mempengaruhi pendengar.
Sekurang-kurangnya, itu teori pramatang yang dapat saya buat tentang perubahan haluan empty page.
Daripada Empty Page!, mereka berubah menjadi empty page. Haluan muzik dari rancak dan bertenaga bertukar kepada melankolik dan sendu. Pop punk kepada pop balada. Mereka memilih masuk jalan yang sesak. Pop balada jalan yang sesak.
SEIRING HIDUP
Faktor umur dan kehilangan, itu dua sebab yang dinyatakan empty page. apabila ditanyakan tentang
perubahan haluan muzik mereka.
Zic (vokal) dan Zac (gitar) kehilangan bapa akibat kanser pada 2018. Pengalaman berulangalik ke hospital setiap hari pada tahun itu dikumpulkan dan ditumpahkan dalam lagu bertajuk Jika (2019), lagu pertama yang menjadi tanda perubahan haluan muzik mereka.
Selepas Jika, seperti yang diakui Iman (bass), mereka sedar yang bermain lagu perlahan tanpa herotan (distortion) gitar itu juga menyenangkan dan sesuai dengan mereka.
Ia diteruskan dengan single seterusnya seperti Cahaya (2020), bagaimana jika aku tiada (dunia
akan terus berputar) (2020), forever & always (2020), TiadaArah (Aku & Kamu) (2021) dan SEOLAH (2022).
Akhirnya, mereka menyimpulkan perubahan haluan itu dengan album Cahaya yang dilancarkan pada 22 November lalu. Zic, Zac, Iman dan Alep (dram)
kini menjadi empty page. yang baharu.
DILEMA GENERASI
Depresi, perhubungan toksik – ini semua topik popular yang dibincangkan generasi baharu. Ia juga sudah sering dijadikan temadalam muzik.
Apabila empty page. muncul dengan Cahaya dan membawa topik serupa, ada dua makna yang boleh ditafsir. Pertama, mereka melompat bersama menyertai
bandwagon atau kedua, mereka mencabar diri untuk bersaing dalam pasaran popular itu.
Kedua-dua makna ini ada cabarannya yang tersendiri, lebihlebih lagi untuk mereka tampil berbeza dengan kugiran atau penyanyi lain. Namun, melihat
kepada sambutan terhadap album dan lagu mereka, nampaknya cabaran itu berjaya diatasi.
Bagaimana jika aku tiada (dunia akan terus berputar) sangat dekat dengan hati ramai pendengar empty page. sehingga ia menjadi anthem utama kugiran itu. Rasa kosong dan tidak berharga yang disampaikan menyentuh hati ramai orang.
“Kami bukan nak picu trauma orang. Cuma, kami mahu orang tahu, mereka tidak keseorangan,” terang Iman berkenaan tema album ini yang banyak bercerita tentang perhubungan toksik.
Trek interlude berjudul diam yang diletakkan agak awal pada trek keempat membawa pendengar ke belakang kereta sepasang kekasih yang bergaduh.
Ia disusuli trek kegemaran saya (selain lagu yang sudah terbit) dalam album ini, hancur. Sama ada lagu-lagu dalam Cahaya dapat membawa dilema
generasi baharu, saya perlu serahkan penilaiannya kepada mereka yang layak, iaitu generasi baharu.
Tahun depan saya dah masuk 30-an, dah tua.Anda dengarkan sendiri album Cahaya yang kini tersedia di semua platform digital. Malah, album fizikalnya juga akan tersedia nanti, ikut rapat media sosial empty page