Cabul, tunjuk kemaluan: Pembantu restoran dipenjara sebulan, denda RM6,000 - Utusan Malaysia

Cabul, tunjuk kemaluan: Pembantu restoran dipenjara sebulan, denda RM6,000

YAP Jian Sheng dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan mencabul kehormatan dan menunjukkan kemaluannya kepada dua wanita. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu restoran dipenjara sebulan dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dan menunjukkan kemaluannya kepada dua wanita, Oktober lalu.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Yap Jian Sheng, 24, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 20 Disember lalu.

Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda tersebut dia boleh dipenjara selama tiga minggu.

Mengikut pertuduhan pertama, Jian Sheng yang masih bujang didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 27 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Sementara pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mendatangkan kegusaran terhadap seorang wanita berusia 26 tahun dengan melakukan perbuatan lucah iaitu menunjukkan kemaluannya.

Pertuduhan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah residensi di Kepong di sini masing-masing pukul 2 pagi dan 1.30 pagi pada 14 Oktober dan 19 Oktober lalu.

Terdahulu Jian Sheng, yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menjaga ibu dan bapanya selain penanggung utama keluarga.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Mohamad Saad memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh.

“Akibat perbuatan tertuduh itu, menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami trauma,” kata Nur Diana.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memeluk dan menyentuh kemaluan dua remaja perempuan bagi tujuan seksual.

Mengikut pertuduhan, Jian Sheng dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal dengan memeluk dan menyentuh kemaluan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Bagi kesalahan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Bagi satu lagi tuduhan di mahkamah sama, Jian Sheng dengan sengaja melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan kemaluan kepada remaja perempuan berusia 13 tahun.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 15 (a) (i) akta sama yang tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu turut dilakukan pada tempat sama masing-masing pukul 6.30 petang dan 8.30 malam pada 11 Oktober dan 25 November lalu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin, tidak menawarkan ikat jamin kerana mendatangkan risiko kepada masyarakat.

Bagaimanapun, Jian Sheng hanya memohon diberikan ikat jamin.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Tasnim Abu Bakar kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin diberikan dan menetapkan sebutan kes 31 Januari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya