KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim mengakui Kerajaan Perpaduan ketika ini berdepan cabaran besar untuk memastikan dasar terutama agenda yang dimuktamadkan terlaksana.
Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya tidak menolak banyak cabaran mendatang selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memfokuskan kepada kos sara hidup dan pembaharuan.
“Isu-isu politik pilihan raya umum sudah tamat, jangan heret terlalu panjang perbalahan politik tersebut. Itu merugikan banyak terutama sekali tenaga dan masa orang-orang yang sepatutnya buat kerja sekarang ini,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengangkat sumpah jawatan timbalan nenteri di Istana Negara, hari ini.
Adam Adli berkata, fokus dan tanggungjawab beliau ketika ini adalah untuk memastikan semua perancangan kementerian dan Menterinya, Hannah Yeoh dapat dilaksanakan.
“Kalau sebelum ini secara tradisisnya (fokus belia hanya) dalam bidang sukan dan pendidikan, tetapi sekarang dalam demokrasi dan politik jadi cabaran untuk golongan muda itu banyak, ini peranan yang akan digalas oleh kementerian.
“Saya akan bincang dengan Yang Berhormat Menteri untuk pembahagian tugas yang baik buat kami berdua, (namun) saya tetap di situ untuk membantu bantu agenda kementerian dan kerajaan, Insya Allah,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Adam Adli mengakui usikan ‘dari jalanan ke Istana Negara’ itu sebagai sesuatu yang lucu dan ketawa apabila ditanya pemberita berhubung perkara itu.
Beliau kemudiannya hanya menjawab, ‘sudah biasa dah’.
Terdahulu, kenderaan membawa menteri dan timbalan menteri beransur keluar daripada Pintu 2 Istana Negara di sini selepas selesai menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Timbalan Menteri Persekutuan.
Seramai 27 timbalan menteri selesai mengakat sumpah jawatan berkenaan di hadapan Yang di-Pertuan Agong selepas diumumkan Perdana Menteri, malam tadi. – UTUSAN