SEPANG: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan melaksanakan sistem baharu Laluan Pelepasan Standard (SIDs) dan Laluan Pendaratan Standard (STARs) bertujuan memendekkan laluan pendaratan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 bermula 18 Mei depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sistem tersebut menjadikan kawalan trafik udara lebih efisyen selain memberi nilai tambah kepada syarikat penerbangan dari segi penjimatan bahan bakar, perjalanan lebih efektif kepada para penumpang serta manfaat kepada alam sekitar dari segi pengurangan karbon.
“Kebiasaannya, sesebuah pesawat perlu membuat beberapa pusingan sebelum mendarat dan perlu menunggu giliran masing-masing, namun dengan sistem baharu itu pergerakan pesawat akan lebih terus dan dapat dipendekkan. Apabila pergerakan pesawat dipendekkan, maka masa untuk mendarat lebih pantas dan tidak perlu beratur panjang.
“Apa yang dapat dicapai adalah penggunaan bahan bakar yang lebih menurun dengan penjimatan kos sebanyak RM500 juta setahun untuk syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA, ia merupakan satu penjimatan besar dan diharap dapat membantu sektor aviasi.
“Selain itu, ia turut menyumbang kepada penurunan ‘carbon footprint’ dan untuk penumpang, mereka akan melihat perjalanan udara yang lebih efektif dan pantas apabila pesawat boleh mendarat tepat pada waktunya dengan waktu penerbangan lebih pendek,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di sini hari ini.
Tambah Anthony, sistem berkenaan juga bakal memanfaatkan para penumpang berikutan ia mampu memendekkan masa penerbangan di antara 18 hingga 22 minit.
Dalam pada itu, beliau berkata, implimentasi bagi sistem tersebut hanya akan mula dilaksanakan pada Mei depan berikutan ia memerlukan masa yang secukupnya bagi memberi latihan kepada pegawai trafik udara selain hal-hal berkaitan keselamatan.
“Apabila kita buat penyingkatan, pegawai harus dilatih dahulu, kita memerlukan masa dalam lingkungan lima hingga enam bulan (kerana) kita nak buat dengan cara yang betul.
“Pergerakan trafik udara ada laluan mereka, jadi itu memerlukan sedikit masa untuk latihan dan kita kena maklumkan kepada syarikat penerbangan kerana juruterbang kena tahu dan membiasakan diri apakah koordinat dan sebagainya kerana sistem seperti ini memerlukan perancangan yang panjang, bukan hari ini umum esok boleh laksanakan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony memaklumkan pihaknya telah meminta kerjasama CAAM untuk memastikan semua menara trafik khususnya di Sabah dan Sarawak supaya dapat memanjangkan waktu operasi dan syarikat penerbangan boleh menambah kekerapan penerbangan pada waktu malam.
“CAAM telah memberikan komitmen kepada saya, ini akan dibuka dalam musim perayaan iaitu seminggu sebelum Tahun Baharu Cina dan selepas perayaan dan juga Hari Raya Aidilfitri,” katanya bahawa usaha itu akan dapat merungkai masalah kekurangan penerbangan serta harga tiket kapal terbang. – UTUSAN