PETALING JAYA: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bakal menganjurkan satu lagi kejohanan golf amal yang lebih besar dijangka diadakan 8 Mei tahun depan.
Naib Pengerusi Kebangsaan merangkap Pengerusi BSMM Kuala Lumpur, Datuk Seri Suhaimi Yacob berkata, tarikh itu dicadangkan bersempena sambutan Ulang Tahun ke-75 penubuhan BSSM yang turut disambut di seluruh dunia.
Bagaimanapun, katanya, penetapan tarikh sebenar bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan dijemput menyertai kejohanan golf amal BSMM itu.
“Menjelang kejohanan golf amal terbesar ini nanti, kita berharap lebih ramai penaja dan peserta turut menjayakannya. Kali ini kita ada tajaan daripada Kumpulan Low Yat, Petronas Dagangan, TH Properties, DMM Sales Sdn. Bhd. dan beberapa yang lain.
“Terima kasih kepada semua penaja. Kita juga berharap mereka semua sudi untuk menjadi penaja pada kejohanan golf amal yang dicadangkan penganjurannya bulan Mei tahun depan.
“Selain itu, bersandarkan kepada kejohanan golf amal yang telah kita buat baru-baru ini, kita akan perkemaskan segala kekurangan yang wujud bagi menjayakan kejohanan golf amal itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Kejohanan Golf Amal BSMM yang berlangsung di Kelab Golf Tasik Puteri, Rawang, Selangor, baru-baru ini. Turut hadir Setiausaha Agung PBSM, Hakim Hamzah.
Dalam ucapan itu juga, Suhaimi yang mewakili Tunku Puteri Intan Safinaz mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua penderma dan peserta yang menjayakan kejohanan golf amal kali ini.
“Tunku Puteri Intan Safinaz tidak dapat bersama kita pada kejohanan kali ini kerana mempunyai urusan lain.
“Saya juga memohon maaf sekiranya ada kesilapan dan kekurangan dalam penganjuran golf kali ini dan insya-Allah pada kejohanan yang akan datang kita akan perbaiki segala kekurangan yang ada,” katanya.
Seramai 105 pemain terdiri daripada peserta, penaja dan jemputan memeriahkan kejohanan itu yang mendapat tajaan sebuah kereta Perodua Ativa sumbangan DMM Sales Sdn. Bhd. dan Harley Davidson tajaan Kumpulan Low Yat.
Namun, tiada seorang pun pemain yang berjaya memenangi kereta atau motosikal tersebut apabila semua peserta gagal melakukan pukulan selubang (Hole In One).
Sementara itu, jumlah yuran penyertaan ‘bull eye’ sebanyak RM2,760 yang turut gagal dimenangi akan dimasukkan ke dalam Tabung BSMMKL bagi menampung kos penyelenggaraan ambulans.
Mohd. Hisham yang bermain pada handikap 0 muncul juara gross selepas mengumpul 40 mata dan membawa sebuah trofi dan piala iringan berserta baucar.
Pemain handikap 7, Zamri Majid pula muncul pemenang kategori A, manakala Zulhairie Abu Bakar juara kategori B dan Raeha Yusuf juara bagi kategori wanita.
Abdul Hamid Ibrahim adalah peserta yang paling bertuah apabila diumumkan sebagai pemenang grand lucky draw berupa baucar penginapan percuma empat hari tiga malam di Grace Hotel, Sydney, Australia. – UTUSAN