SHAH ALAM: Tiada mana-mana organisasi bukan kerajaan (NGO) atau individu sukarelawan luar diberi kebenaran untuk memasuki kawasan tragedi lokasi tanah runtuh dekat Father’s Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, tiada pihak lain dibenarkan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kecuali anggota dan agensi penyelamat yang terlatih.
Menurutnya, hanya pasukan seperti JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dibenarkan berada di kawasan operasi zon merah.
“Aspek utama diambil kira untuk anggota terlibat iaitu keselamatan, kemahiran dan kecergasan. Dengan keadaan semasa struktur tanah kawasan bencana dalam keadaan lembut dan jika hujan berkemungkinan berlaku lagi runtuhan atau gelinciran di kawasan runtuhan,” katanya, hari ini.
Jelas kenyataan itu lagi, keadaan sedemikian memerlukan kepekaan latihan khusus serta kesediaan menghadapi situasi sukar dan tidak dijangka, justeru kemahiran anggota diperlukan selain mempunyai kecergasan fizikal yang baik untuk berada di sana.
Penafian itu dinyatakan JBPM selepas tular gambar sekumpulan sukarelawan daripada NGO yang memasuki tapak bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan tersebut yang mendakwa diberi kebenaran untuk membantu mencari mangsa terperangkap di bawah runtuhan.
Dalam pada itu, JBPM memaklumkan hari ini operasi SAR diteruskan untuk mencari mangsa yang masih hilang dan menyeru seluruh masyarakat mendoakan anggota pasukan SAR diberi kekuatan dan kemudahan mengeluarkan mangsa. – UTUSAN