PERPECAHAN artis berkumpulan bukan perkara asing dalam industri muzik. Meskipun berusaha keras mempertahankan usia kumpulan, kudrat manusia tidak mampu melawan perancangan Allah SWT.
Belum sampai usia tiga tahun, kumpulan nasyid, Zayne turut berdepan masalah sama apabila dua ahlinya, Naufal Azrin dan Abdul Basit memilih untuk membawa haluan masing-masing.
Tidak terkesan dengan perpecahan yang berlaku, Mateen atau nama sebenarnya, Mateen Muzammil Muhammad Yaaqub tekad untuk menggerakkan Zayne, meskipun hanya bersama Furqan Fawwaz.
Biarpun kini bergerak secara duo, Mateen berkata, mereka tiada masalah untuk menjayakan projek solo. Ia terbukti apabila dia bakal muncul dengan single baharu awal tahun depan.
“Diikutkan, saya lebih suka bergerak secara berkumpulan, tetapi saya sahut cabaran untuk memulakan langkah sebagai penyanyi solo,” katanya kepada Pancaindera.
Jejaka berusia 26 tahun yang menuntut dalam bidang Syariah di Universiti al-Azhar, Mesir itu bakal muncul dengan single, Teratas berkisar individu yang sering mempersoalkan takdir yang berlaku dalam kehidupannya.
Katanya, lagu itu menjelaskan semua yang berlaku adalah ketetapan Allah SWT dan sebagai manusia, kita perlu sentiasa mensyukuri setiap nikmat.
Single bergenre pop yang turut disulam dengan zikir itu dicipta sepenuhnya Fuad Ko.
TAK IRI HATI
Melihat kejayaan bekas rakan sekumpulan, Naufal yang mula menempa nama di luar negara menerusi lagu Casablanca, Mateen sejujurnya bangga dengan pencapaian itu.
Tidak timbul sekelumit rasa iri hati walaupun langkah Naufal lebih laju selepas meninggalkan Zayne.
“Saya gembira melihat kejayaan Naufal kerana kami pernah melalui susah senang sejak bersama Zayne.
“Saya tidak iri hati melihat dia berjaya sampai ke luar negara, bahkan sentiasa menyokong selagi dia menjaga batas,” katanya.
Mateen yang berasal dari Muar, Johor bagaimanapun optimis dengan persaingan. Dia yakin platform nasyid yang diperjuangkan dengan sokongan Inteam Records Sdn. Bhd. sebagai jalan terbaik untuk memacu karier seninya.
“Saya akui, penyanyi nasyid agak sukar bersaing. Mahu atau tidak, perlu ada usaha untuk memastikan lagu kerohanian sampai kepada khalayak.
“Saya berharap lebih ramai yang mahu mendengar lagu nasyid dan sentuhan yang mempunyai mesej positif,” ujarnya.
Walaupun memilih genre nasyid, Mateen menjelaskan, dia ingin tampil berbeza daripada penyanyi nasyid lain.
“Pembawakan saya sedikit berbeza daripada Inteam walaupun mendapat tunjuk ajar mereka.
“Saya membesar dengan irama nasyid sejak zaman persekolahan, malah nyanyian adalah hobi yang sukar dipisahkan daripada diri,” katanya.
JADI IMAM MASJID
Selain menyanyi, Mateen juga imam di Masjid al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara. Gemersik alunan indah ayat-ayat suci al-Quran oleh anak bongsu 11 beradik ini diwarisi daripada ibunya yang berdarah seni.
Menurut Mateen, ibunya aktif menyanyi ketika belajar di Sekolah Kampung Melayu, Sungai Rapat, Ipoh bersama primadona filem Melayu, Azean Irdawaty pada era 1960-an.
“Emak menyanyi lagu keroncong, tetapi hanya di peringkat sekolah. Kakak saya juga boleh menyanyi, tetapi tidak serius hingga menghasilkan album,” kongsinya.
Jejaka tampan berkulit putih ini memberitahu, dia pernah berdepan gangguan peminat di media sosial.
“Pada mulanya, saya anggap sebagai gangguan biasa. Tetapi apabila ada yang tahu tempat tinggal, siapa kawan-kawan saya, malah mengaku kami sedang bercinta, bagi saya ia membimbangkan.
“Saya tidak layan kerana risau nanti individu tersebut akan bertindak di luar kawalan,” katanya yang sedang mengenali hati budi seseorang.