Bersedia pindah awal sekiranya hujan berterusan - Utusan Malaysia

Bersedia pindah awal sekiranya hujan berterusan

AIMAN Athirah Sabu (tengah) diberi taklimat mengenai stok bekalan makanan dan keperluan asas mangsa banjir di Depoh Simpanan Keperluan Bencana JKM Pulau Kerengga, Marang, Terengganu, hari ini.- UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG : Penduduk di negara ini yang tinggal di kawasan tidak berisiko banjir diingatkan supaya melakukan persediaan untuk berpindah awal sekiranya berlaku hujan berterusan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, langkah tersebut perlu diambil memandangkan kejadian banjir di luar jangka dilaporkan banyak berlaku pada musim tengkujuh ini.

Menurutnya, penduduk boleh merujuk di portal kementerian atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana nombor telefon agensi berkaitan dan pusat pemindahan sementara (PPS) sentiasa dikemas kini.

“Selain itu, kita juga akan berbincang dengan Pegawai Daerah mengenai tahap kesiapsiagaan, apa lagi langkah-langkah yang kita boleh ambil bersama untuk memperkemaskan lagi persiapan.

“Bila tak pernah berlaku (kawasan jarang banjir) tu susah sikit, tapi kita ambil berat untuk susun atur persiapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau stok bekalan makanan dan kelengkapan asas mangsa banjir di Depoh Simpanan Keperluan Bencana JKM di Pulau Kerengga di sini, hari ini.

Ditanya mengenai luahan mangsa banjir yang mendakwa bekalan makanan dan keperluan asas tidak mencukupi baru-baru ini, Aiman Athirah berkata, perkara tersebut berlaku disebabkan bekalan tidak boleh dihantar ke PPS tertentu apabila terputus hubungan setelah semua laluan ditenggelami air.

“JKM tiada jentera berat dan logistik itu perlu dipersiapkan oleh agensi lain. Kita hanya siapkan barang-barang kelengkapan di PPS dan di tempat penyimpanan.

“Untuk sampai ke PPS yang terputus hubungan tentulah memerlukan agensi lain dan ini telah disuarakan di peringkat jawatankuasa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

“Dari masa ke semasa, kita akan lihat lagi mana-mana perkara yang boleh ditambah baik di semua peringkat. Setakat ini bekalan mencukupi dan boleh menampung keperluan mangsa banjir termasuk untuk gelombang ketiga nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya