Berjalan kaki 290km demi bantu kanak-kanak kanser - Utusan Malaysia

Berjalan kaki 290km demi bantu kanak-kanak kanser

MUKHLIS Ilyas tiba di Ipoh semalam setelah berjalan kaki sejauh 290 kilometer dari Kangar, Perlis selama seminggu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki berusia 59 tahun sanggup berjalan kaki sejauh 290 kilometer dari Kangar, Perlis ke Ipoh selama tujuh hari demi menjayakan kempen kesedaran dan mengumpul dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi pesakit kanser.

Mukhlis Ilyas, 59, tiba di destinasi terakhir di Ipoh pada pukul petang semalam selepas berjalan kaki sejauh 290 kilometer bagi menjayakan kempen tersebut bagi Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS).

Datuk kepada tiga cucu itu juga pernah berjalan kaki mengelilingi pantai Timur dan Barat Semenanjung dua tahun lalu menerusi ekspedisi secara solo.

“Saya bersyukur kerana dapat mengakhiri misi itu dengan selamat. Program ini sebenarnya sudah terlewat sedikit disebabkan Covid-19 dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di KTM Ipoh semalam.

Katanya, ekspedisi pertama dimulakan dari Desaru, Johor ke Kuantan pada Disember 2020 diikuti Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Terengganu (Disember 2021) sebelum diteruskan dengan Pontian, Johor ke Melaka (November 2022) dan terakhir Kangar ke Ipoh.

Mukhlis yang berasal dari Kuala Lumpur bersama troli berisi beg, khemah dan barangan keperluannya sepanjang ekspedisi berjalan kaki.

Katanya, usia yang semakin meningkat serta kecederaan lutut dialami bukan halangan untuk meneruskan misi yang diatur itu.

“Pada awal ekspedisi dahulu, saya mampu berjalan kaki antara 50 hingga 60 kilometer sehari, namun keupayaan itu semakin mengurang.

“Untuk yang terakhir ini, saya berjalan ikut kemampuan, kelajuan pun ikut saya sahaja,” katanya.

Menurunya, dalam masa sejam, dia mampu berjalan kaki sejauh dua kilometer atau 20 kilometer sehari.

“Sebelah pagi saya boleh berjalan 10 kilometer kemudian pada sebelah petang sambung 10 kilometer lagi,” katanya.

Menurutnya, paling menggembirakan adalah apabila kempen ini dapat mencetuskan kesedaran kalangan masyarakat mengenai risiko kanser dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, masyarakat juga telah menunjukkan keprihatinan yang tinggi apabila turut sama menyumbang dana sebagai sokongan kepada KIDS.

“Saya tidak ada duit yang banyak untuk disumbangkan, yang saya ada hanya masa dan kudrat kaki berjalan untuk sama-sama bantu ibu bapa dan kanak-kanak ini.

“Selagi masih ada hayat, saya akan berjalan. Harapan saya lebih ramai pihak tampil memberi sokongan moral dan mendampingi ibu bapa yang diuji dengan anak pesakit kanser.

“KIDS juga memerlukan sokongan kewangan bagi membantu keluarga tidak berkemampuan mendapatkan rawatan terbaik untuk anak mereka,” katanya.

Sebarang maklumat berkaitan KIDS boleh diperoleh melalui Facebook Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya