Belanjawan Selangor 2023: JKR Selangor digesa perinci projek - Utusan Malaysia

Belanjawan Selangor 2023: JKR Selangor digesa perinci projek

AZMIZAM Zaman Huri ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan di pada Sidang DUN di Shah Alam, Selangor hari ini. - Gambar Media Selangor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor digesa untuk menyenaraikan projek akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan yang diberikan kepada mereka menerusi Belanjawan Selangor 2023.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, JKR diminta berbuat demikian kerana meletakkan jumlah peruntukan yang mereka perlukan bagi melakukan pembangunan bukan fizikal di semua daerah dengan amaun sama.

“Mereka letak amaun RM5 juta di semua daerah tetapi tiada perincian dan ini membuatkan saya hairan.

“Saya nak tanya, adakah semua daerah ini mengalami masalah dan kerosakan yang sama sehingga amaun yang diminta untuk setiap daerah pun sama,” katanya ketika ditemui di Bangunan Annex selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Malah, menurutnya lagi, difahamkan kerajaan negeri memberi peruntukan besar kepada JKR Selangor pada belanjawan kali ini.

Justeru itu, Azmizam meminta jabatan tersebut segera berbuat demikian supaya semua ADUN boleh melihat perincian projek yang mereka rancang untuk buat pada tahun hadapan.

“Saya juga mengesyorkan kepada kerajaan negeri supaya melantik beberapa syarikat lain bagi menyelenggara jalan raya di seluruh Selangor.

“Saya lihat syarikat yang dipertanggungjawabkan kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan raya ketika ini, tidak menjalankan kerja menyelenggara dengan baik,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN