Bekalan telur di Pulau Pinang pulih sekitar 70% - Utusan Malaysia

Bekalan telur di Pulau Pinang pulih sekitar 70%

ABDUL HALIM Hussain (kanan) dan S. Jegan melihat bekalan telur sewaktu meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2022 di Sam Groceria, Strait's Quay, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Bekalan telur ayam di pasaran Pulau Pinang telah pulih sekitar 70 peratus dan dijamin mencukupi bagi menampung permintaan tinggi pengguna termasuk ketika musim perayaan Krismas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, kemasukan telur ayam dari India yang telah berada di pasaran negeri ini juga dijangka dapat mengimbangi bekalan telur ayam tempatan pada masa ini.

”Menerusi tinjauan kita, di pihak pemborong mereka memperoleh bekalan telur seperti biasa, cuma ada kalangan peruncit yang mengalami gangguan bekalan kerana beberapa faktor lain,” katanya dalam sidang akhbar di Sam Groceria, Strait’s Quay, di sini hari ini.

Terdahulu, Jegan meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2022 peringkat negeri di pasaraya berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Menurut Jegan, pemantauan bekalan telur di pasaran juga mendapati kesemua gred telur ayam iaitu A, B, dan C dan sebagainya berada di pasaran dan bekalan dihantar ke sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

”Terpulang pada pengguna untuk membeli telur mengikut gred yang mereka mahukan pada masa ini kerana dari sudut bekalan ia tidak menjadi masalah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, bermula Januari hingga 22 Disember lalu, KPDN Pulau Pinang telah membuat pemeriksaan di sebanyak 53,109 premis seluruh negeri itu dengan tindakan yang diambil sebanyak 733 kes.

”Jumlah sitaan ialah RM2.46 juta dan jumlah kompaun sebanyak RM215,900.

”Dari segi aduan berhubung isu bekalan barangan dan isu harga, sejak 1 Januari hingga semalam, jumlah aduan yang diterima adalah 1,618, iaitu 458 berhubung harga barangan dan perkhidmatan, 57 berhubung bekalan barang kawalan manakala 1,103 berhubung lain-lain aduan,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, sebanyak enam jenis barangan telah diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 antaranya daging kambing biri-biri import bertulang; tomato; lada benggala hijau dan sebagainya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya