Bekalan ayam, telur, minyak paket stabil - KPDNKSH Selangor - Utusan Malaysia

Bekalan ayam, telur, minyak paket stabil – KPDNKSH Selangor

MOHD. Khairi Jamaludin (tengah) membuat pemeriksaan terhadap bekalan ayam, telur dan minyak masak paket dekat sebuah pasar raya di Gombak, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekalan barangan utama seperti minyak masak paket satu kilogram (kg), ayam dan telur di negeri ini dilaporkan stabil dan tidak mengalami kekurangan untuk menampung keperluan pengguna isi rumah.

Malah, telur ayam juga dilaporkan berterusan berada dalam pasaran dan tidak mengalami terputus bekalan dalam tempoh masa lama, sebaliknya kekurangan yang berlaku hanya melibatkan kawasan tertentu.

Menurut Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Selangor, Mohd. Khairi Jamaludin, hasil pemeriksaan di premis pasar raya mendapati bekalan fizikal berada dalam keadaan baik seperti ditunjukkan dalam rekod yang dirujuk.

“Pemeriksaan hari ini, melibatkan dua peringkat rantaian yang diperiksa iaitu peruncit (pasar raya) dan pengeluar atau pembekal (premis penyimpanan/ pengumpulan telur ayam) di Gombak dan Selayang.

“Pemeriksaan terhadap tempat simpanan (storage) bekalan barangan terlibat turut dilaksanakan bagi mengesahkan secara fizikal keberadaan bekalan, jumlah sebenar bekalan dan mengesan unsur perlakuan sorok bekalan.

“Bekalan dianggarkan berupaya memenuhi keperluan pelanggan untuk hari yang sama dan tiada unsur perlakuan sorok bekalan dikesan. Premis juga didapati mematuhi penetapan harga maksimum runcit bagi item ayam, telur ayam dan minyak masak paket satu kg,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau turut memaklumkan KPDNKSH Selangor melanjutkan pemeriksaan yang lebih spesifik melibatkan peringkat pengeluar atau pembekal telur ayam iaitu di sebuah premis pengumpulan telur ayam di sekitar Kuala Garing, Rawang, Selangor.

Jelas Mohd. Khairi, pemeriksaan itu sebagai isyarat kepada peniaga di semua peringkat agar memberi kerjasama dengan kerajaan untuk memastikan kelangsungan bekalan makanan dapat diurus dengan baik demi keperluan pengguna.

“Arahan kerajaan menetapkan pembelian terhad tiga paket untuk setiap pembelian adalah rasional demi memastikan setiap pembeli untuk kegunaan isi rumah dapat menikmati bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran. Bekalan ayam standard juga semakin baik.

“KPDNKSH Selangor meminta kerjasama pengguna membeli mengikut keperluan dan tidak sesekali membuat pembelian panik dengan menyimpan stok yang berlebihan daripada keperluan biasa.

Dalam pada itu, beliau juga mendedahkan sebanyak 6,635 premis melibatkan 190 pemborong dan 6,445 peruncit diperiksa pihaknya bermula 5 Februari lalu hingga 3 Disember dengan jumlah kompaun dikutip sebanyak RM42,400.

Sejumlah 183 peniaga dikenakan tindakan kes yang meliputi kesalahan di bawah menjual melebihi harga maksimum 28 kes, gagal meletakkan tanda harga khas warna merah jambu 144 kes, gagal mempamerkan tanda harga 11 kes.

“KPDNKSH Selangor meminta kerjasama orang ramai untuk mempraktikkan ‘pengguna bijak adu’ mengenai salah laku mana-mana peringkat perniagaan menerusi saluran aduan rasmi melalui aplikasi WhatsApp (019-2794317/0198488000), laman e-aduan.kpdnhep, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau bilik gerakan KPDNKSH Selangor 03-55144393 / 03-55181810 / 03-55125485,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya