GEORGE TOWN: Sempena acara Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) Ahad ini, beberapa jalan di Pulau Pinang akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, penutupan dan lencongan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 11 malam Sabtu (10 Disember) hingga 10 pagi Ahad (11 Disember).
Menurut beliau, acara larian itu akan melalui jalan-jalan di kawasan Persiaran Bayan Indah, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, sepanjang laluan Jambatan Pulau Pinang dan Perai melibatkan jarak sepanjang 42 kilometer (km).
“Jalan yang akan ditutup bagi daerah Timur Laut ialah sepanjang Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu iaitu dari Persimpangan Jalan Sungai Pinang ke Persiaran Bayan Indah dan dari George Town menghala ke Bayan lepas serta Jambatan Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, untuk daerah Barat Daya pula semua jalan yang ditutup tertumpu di kawasan Queensbay dan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke George Town.
”Semua kenderaan yang menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Batu Maung akan dilencongkan ke Jalan Sultan Azlan Shah.
”Bagi daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pula, kenderaan yang ingin ke bahagian pulau iaitu dari Lebuhraya Utara Selatan akan dilencongkan ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah,” katanya.
Tambah beliau, seramai 300 pegawai serta anggota polis akan terlibat membantu penganjur dalam penugasan bagi melancarkan acara dan lalu lintas sepanjang tempoh tersebut.
Dalam pada itu, katanya, pengguna jalan raya yang bercadang menggunakan jalan-jalan terlibat diminta merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan jalan atau laluan alternatif lain.
”Pengguna juga dinasihatkan mematuhi arahan pihak polis yang bertugas dan kita menjangka aliran trafik meningkat kerana musim cuti sekolah dan terdapat beberapa acara besar di bahagian pulau,” katanya.
Selain itu, tambah beliau, polis juga menasihatkan orang ramai yang ingin menyaksikan atau menyertai PBIM meletakkan kenderaan di kawasan yang disediakan penganjur selain dinasihatkan menggunakan sistem pengangkutan awam yang disediakan penganjur. – UTUSAN