MERSING: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan dalam sebuah kotak di tepi simpang masuk sebuah kebun di Jemaluang, semalam.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, pihak polis menerima maklumat tentang penemuan bayi itu pukul 9.40 pagi daripada jururawat Klinik Kesihatan Jemaluang.
Katanya, bayi berkenaan dijumpai seorang lelaki Cina.
“Bangsa bayi belum dikenal pasti dan masih bertali pusat ketika ditemui dalam kotak berwarna coklat pada pukul 8.40 pagi.
“Ketika dijumpai bayi itu diletakkan di atas jalan pasir merah dalam keadaan tidak berselimut hanya beralaskan kain langsir berwarna merah hati dan diletakkan di hadapan simpang masuk sebuah kebun di Jemaluang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penemuan bayi itu supaya menghubungi talian hotline IPD Mersing atau pegawai penyiasat, Inspektor S.R. Agelan menerusi talian 07-7992222. – UTUSAN