Bapa lima anak dituduh lakukan amang seksual - Utusan Malaysia

Bapa lima anak dituduh lakukan amang seksual

DUA anggota polis mengiringi seorang lelaki yang menghadapi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Kompleks Mahkamah Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang bapa kepada lima anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, dua minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 56 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 8.40 malam, 10 Disember lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bahagia, Mukim Guar Kepayang di Pendang, dekat sini.

Dalam pertuduhan dihadapinya, dia didakwa dengan maksud seksual memegang dada kanak-kanak berkenaan yang difahamkan memiliki hubungan persaudaraan dengannya.

Sehubungan itu, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan disebat.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nor Syaliati Mohd. Sobri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Nor Syaliati memohon agar mahkamah menawarkan kadar jaminan sebanyak RM15,000 kepada tertuduh.

Tertuduh bagaimanapun memohon kadar jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia hanya bekerja sebagai buruh, manakala isterinya pula hanya seorang petani dan mereka perlu menanggung lima anak.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin, terdiri daripada ahli keluarganya sendiri selain mengenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Januari depan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya