PUTRAJAYA: Penjawat awam bagi Gred 56 ke bawah menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2023 sebanyak RM700 pada 17 Januari depan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi surat edaran kepada semua ketua setiausaha kementerian yang ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Zulkapli Mohamed bertarikh 27 Disember lalu.
Menurut pekeliling sama, pesara kerajaan yang sedang menerima pencen, penerima pencen terbitan, pesara perkhidmatan awam skim KWSP dan veteran berpencen serta tidak berpencen akan menerima bantuan sebanyak RM350 yang juga dibayar pada hari sama.
“Bayaran BKK 2023 layak diberikan kepada pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 56 dan ke bawah yang masih berkhidmat pada 17 Januari 2023.
“Selain itu, ia juga layak dibayar kepada pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana termasuk pegawai lantikan tetap, sementara dan Contract of Service (COS).
“Ia juga termasuk pegawai yang bercuti bergaji penuh, pegawai yang bercuti separuh gaji dan pegawai yang bercuti tanpa gaji,” katanya.
Katanya, bayaran juga layak diberikan kepada pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya.
Dalam pada itu, BKK 2023 turut layak dibayar kepada pegawai lantikan MySTEP yang berkhidmat sekurang-kurangnya enam bulan pada tahun ini dan masih berkhidmat sebagai MySTEP pada 17 Januari 2023.
Jelasnya lagi, turut layak adalah guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya.
“Bayaran turut dibuat kepada pemandu yang dilantik sendiri oleh anggota pentadbiran dan hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman,” katanya.
Katanya, pegawai perkhidmatan awam yang meninggal dunia pada 17 Januari 2023 juga layak menerima BKK 2023. – UTUSAN