KUALA TERENGGANU: Sebanyak tiga jalan utama di negeri ini ditutup kepada kepada lalu lintas akibat bencana banjir bermula petang tadi sehingga malam ini.
Tiga jalan tersebut ialah Kilometer (KM) 67, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Balik Bukit, Setiu yang ditutup kepada kenderaan ringan sejauh satu kilometer.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa, berkata, selain itu turut ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan adalah Jalan Padang Luas ke Bukit Yong di Besut.
Menurut beliau, satu lagi jalan yang ditutup adalah di KM76 Jerangau-Jabor dekat Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Besi.
“Bagaimanapun, jalan-jalan utama lain yang menghubungkan Terengganu, Kelantan dan Pahang masih boleh dilalui untuk semua kenderaan.
“Ini termasuk jalan pantai sepanjang daerah Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Setiu dan Besut serta Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan akibat penutupan jalan terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan, malam ini.
Tambah beliau, bagi laluan daerah Setiu dan Besut, pengguna jalan raya boleh melalui jalan alternatif Batu Rakit-Pantai Penarik-Kampung Saujana-Kuala Besut-Tok Bali, Bachok.
Sementara di Dungun, pengguna dinasihatkan melalui jalan alternatif Plaza Tol Paka dan Plaza Tol Bukit Besi di LPT2. – UTUSAN