PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian bahawa gesaannya untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu sangat tepat.
Menurutnya, biarpun ada pihak mengaitkan tempoh PRU15 itu akan ada banjir besar, namun ia tidak berlaku.
“Ada pihak menjangkakan pilihan raya diadakan ketika musim banjir tetapi banjir tidak berlaku, tapi yang kena tohmahan adalah saya.
“Tapi alhamdulillah, Allah SWT memihak kepada saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JBPB) di sini, hari ini.
Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan taburan hujan tinggi dijangka bermula Sabtu ini yang mungkin akan menyebabkan banjir.
Ahmad Zahid berkata, beliau mahu semua pihak berdoa agar bencana banjir tidak berlaku, namun pada masa sama penyelarasan di peringkat pusat, negeri dan daerah perlu dilakukan segera.
Sebelum ini, pelbagai pihak bermain politik persepsi di media sosial mendakwa hujan lebat berterusan akan berlaku mulai pertengahan November lalu dan akan berlaku banjir besar.
Keadaan itu menyebabkan Ahmad Zahid dikecam teruk, malah dijadikan modal politik beberapa parti di pentas ceramah ketika tempoh kempen PRU15 lalu.
Bagaimanapun, PRU15 lalu berlangsung aman tanpa sebarang banjir besar. – UTUSAN