Banjir termenung: Kawasan rumah dipenuhi kiambang - Utusan Malaysia

Banjir termenung: Kawasan rumah dipenuhi kiambang

SAMBRE Samun melihat kiambang di halaman rumahnya berikutan banjir termenung yang berlaku di Kampung Sungai Belukang, Bagan Datuk, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Banjir terme­nung sejak hampir dua bulan lalu menyebabkan kawasan rumah penduduk di Sungai Belukang di sini dipenuhi kiambang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk yang ditemui berkata, banjir termenung yang membawa kiambang menyebabkan halaman rumah mereka dulunya menghijau ditumbuhi rumput kini berubah kepada warna hijau disebabkan kiambang.

Seorang penduduk, Sambre Samun, 62, berkata, akibat kiambang, halaman rumahnya sekarang umpama karpet hijau.

Katanya, banjir termenung menyebabkan aktiviti hariannya sejak dua bulan lalu terjejas.

“Sebelum ini kawasan rumah saya hanya dipenuhi air tetapi sejak beberapa hari lalu, kiambang mula memenuhi kawasan rumah saya akibat dibawa air. Banjir termenung ini sudah terlalu lama, hampir dua bulan.

“Memanglah nampak cantik, umpama karpet berwarna hijau disebabkan kiambang ini tetapi banjir termenung ini menyusahkan kami.

“Keadaan ini tentunya menyukarkan saya dan penduduk di kampung ini untuk melakukan aktiviti seharian, hendak keluar masuk rumah pun terpaksa meredah air, bayangkan betapa sukar untuk kami bergerak me­lakukan urusan seharian,” katanya di sini semalam.

Menurut Sambre, banjir termenung yang berlaku disebabkan musim hujan dan air tidak dapat mengalir keluar melalui longkang dan parit yang dipenuhi semak dan sampah.

“Air akan surut jika cuaca panas berterusan. Jika musim hujan berterusan, keadaan mungkin akan bertambah buruk kerana air tidak dapat mengalir keluar kerana parit air sudah tersumbat disebabkan semak, tidak dibersihkan selain pelbagai jenis sampah dan kayu yang terdapat di dalamnya,” katanya.

Sambre berkata, banjir termenung juga menyebabkan banyak peralatan rumahnya seperti perabot rosak akibat te­rendam banjir.

“Saya mengalami kerugian kira-kira RM3,000 disebabkan perabot dan lain-lain peralatan rumah yang rosak kerana terendam dalam banjir,” katanya.

Sambre berharap kerajaan negeri memberi perhatian terhadap masalah banjir termenung di beberapa kampung di sini yang sudah larutan sejak dua bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya