KOTA BHARU: Hujan lebat berterusan sejak malam kelmarin memburukkan situasi banjir di Kelantan dan Terengganu apabila lebih 5,600 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air.
Banjir di Kelantan menyaksikan 3,783 mangsa daripada 1,122 keluarga ditempatkan di 38 PPS setakat petang pukul 4 petang semalam.
Laman sesawang infobencanajkmv2.jkm.gov.my menunjukkan Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh, Jeli dan Machang menjadi lokasi baharu dilanda banjir selepas Pasir Mas.
Jajahan Pasir Mas menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 1,662 orang diikuti Tanah Merah (1,061 orang), Kuala Krai, Pasir Puteh dan Jeli.
Sementara itu, laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan, lima batang sungai di negeri ini sudah melepas paras bahaya iaitu Sungai Jambatan Melor, Bachok (9.03 meter), Sungai Lanas di Ayer Lanas (Jeli) 29.5 meter, Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (35.06 meter), Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah (25.23 meter) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (9.10 meter).
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 1,866 orang daripada 512 keluarga pada pukul 4 petang semalam berbanding hanya 219 orang daripada 74 keluarga pada sebelah pagi.
Dua lagi daerah terbaharu yang dilanda banjir ialah Besut dan Hulu Terengganu kerana hujan lebat berterusan sejak awal pagi semalam.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, PPS bertambah di 31 lokasi di enam daerah berbanding hanya enam lokasi di empat daerah pagi semalam.
Menurutnya, mangsa tertinggi ialah di daerah Besut yang melibatkan 718 orang daripada 188 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS daerah itu.
“Di Kemaman pula, seramai 459 mangsa daripada 107 keluarga yang kini berada di lima PPS daerah itu. Di Hulu Terengganu pula, seramai 461 mangsa terjejas daripada 143 keluarga kini dipindahkan ke 12 PPS,” katanya.
Tambahnya, daerah Setiu pula merekodkan seramai 196 mangsa daripada 67 keluarga dan kesemua mereka kini ditempatkan di lima PPS.
Katanya, situasi banjir di daerah Dungun dan Kuala Terengganu bagaimanapun masih terkawal iaitu hanya 19 orang daripada empat keluarga di dua PPS kini dibuka di Dungun manakala di Kuala Terengganu, hanya 13 mangsa daripada tiga keluarga di sebuah PPS. – UTUSAN