Banjir: Penduduk basuh pakaian, peralatan kotor di sungai

Banjir: Penduduk basuh pakaian, peralatan kotor di sungai

PENDUDUK membasuh pakaian di sungai selepas bekalan air di rumah mereka masih terputus di Kampung La, Besut, Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Segelintir penduduk Kampung La di sini, terpaksa membasuh baju dan peralatan rumah yang kotor di sungai setelah bekalan air di rumah mereka yang terputus sejak 18 Disember lalu belum pulih sepenuhnya.

Fauziah Rumia, 60, berkata, dia bersama beberapa jirannya terpaksa berulang-alik dari rumah membawa pakaian kotor dan membasuhnya di sungai berdekatan pusat perkelahan La Hot Spring.

Katanya, kejadian banjir kali ini adalah terburuk sejak 2000 kerana rumahnya ditenggelami air hingga paras bumbung.

“Nak mengemas memang susah sebab bekalan air belum pulih. Atas belas ihsan pengurusan La Hot Springs, mereka membenarkan penduduk kampung ke sini untuk mandi, membasuh pakaian dan mengambil air bersih.

“Saya bersyukur sebab ramai ahli keluarga yang tinggal berdekatan membantu membasuh pakaian di sungai ini. Lepas siap basuh, pulang ke rumah untuk keringkan guna mesin dan jemur seperti biasa,” katanya ketika ditemui di kampung itu, semalam.

Kampung La adalah antara kawasan yang teruk terjejas dalam bencana banjir kali ini hingga menyebabkan kerosakan teruk terhadap rumah penduduk malah ada kediaman yang dihanyutkan arus deras banjir.

Ketika ini, mereka tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung La yang menempatkan 53 mangsa daripada 12 keluarga.

Seorang lagi penduduk, Nur Anisah Abdul Manaf, 44, berkata, penduduk Kampung La sudah lali berdepan dengan banjir kerana berlaku setiap tahun cuma kali ini di luar jangka.

“Ada kawan yang meletakkan barangnya di atas loteng tiga tingkat, biasanya selamat kerana air naik paras pinggang sahaja, namun kali ini semuanya tenggelam.

“Nak buat macam mana, ini dugaan penduduk Kampung La dan sekarang terpaksa membasuh semua pakaian serta peralatan yang kotor di pusat perkelahan ini hinggalah bekalan air pulih seperti sediakala,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya