KUANTAN: Mangsa banjir di negeri ini mencatatkan pengurangan daripada 873 mangsa semalam kepada 30 orang setakat pukul 4 petang hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataannya berkata, kesemua mangsa terbabit ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular di daerah ini.
“Jumlah mangsa di PPS SK Sungai Ular turut mencatatkan pengurangan berbanding 41 orang semalam,” katanya kenyataan itu di sini.
Sementara itu, tujuh PPS ditutup iaitu PPS SK Sungai Karang, SK Beserah, SK Pelindung, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung, Balai Raya Bukit Kuin 1, Surau Chendor dan SK Cherating.
PPS SMK Pelindung, PPS Balai Raya Bukit Kuin 1 dan PPS Surau Sungai Chendor ditutup pada Isnin lalu manakala PPS SK Sungai Karang, SK Beserah dan PPS SK Pelindung ditutup pada semalam.
PPS SK Cherating ditutup sepenuhnya hari ini dengan seramai 158 mangsa membabitkan 39 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 1 petang. – UTUSAN