KUANTAN: Hanya pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pekan, dekat sini masih dibuka di negeri ini menempatkan 141 orang mangsa setakat pukul 4 petang, semalam.
Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, PPS yang dibuka terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara di Sungai Miang dengan pengurangan seorang mangsa berbanding 142 mangsa, kelmarin.
PPS SK Sinar Mutiara yang dibuka sejak Selasa lalu pada awalnya menempatkan seramai 59 mangsa dan kemudiannya meningkat kepada 142 mangsa pada Rabu lalu.
Sementara itu, sebanyak 11 PPS sudah pun ditutup sejak banjir melanda beberapa daerah di negeri ini iaitu empat PPS di Raub, sebuah PPS di Temerloh, dua PPS di Bera, dua PPS di Jerantut dan dua PPS di Lipis.
Dalam pada itu, Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin terus menunjukkan trend menaik dan berada pada paras bahaya.
Ia kemudiannya diikuti oleh Sungai Triang di Triang, Bera yang berada pada paras amaran dan Sungai Serting di jambatan Padang Gudang, Bera yang berada pada paras amaran.
Beberapa sungai menunjukkan trend menurun antaranya Sungai Pahang di Paloh Inai, Pekan yang berada pada paras amaran.
Berdasarkan laporan itu juga, ramalan cuaca pada semalam dan Sabtu bagi negeri ini menunjukkan berlakunya kejadian hujan dan ribu petir pada sebelah malam di beberapa tempat di seluruh negeri. – UTUSAN