MARANG : Sebanyak lapan stesen minyak di negeri ini terpaksa ditutup sementara setelah ditenggelami air dalam kejadian banjir sejak Jumaat lalu.
Tiga stesen minyak terbabit terletak di daerah Kemaman, dua di Hulu Terengganu dan masing-masing satu di Besut, Setiu serta Dungun.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, penutupan sementara stesen minyak itu terpaksa dibuat bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa stesen minyak lain ditutup berikutan ditenggelami air sekiranya keadaan banjir di negeri ini bertambah buruk.
“Stesen minyak itu ditutup untuk mengelakkan risiko minyak bercampur dengan air dan bimbang terhadap keselamatan sekiranya terdapat arus elektrik yang boleh menjejaskan operasi stesen minyak tersebut.
“Oleh itu, stesen minyak berkenaan akan kembali beroperasi selepas banjir surut sepenuhnya seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan barangan keperluan banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sivik Bukit Payong di sini, malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Saharuddin berkata, perkhidmatan kenderaan stesen bergerak (ROVR) juga akan digerakkan ke lokasi yang terjejas setelah beberapa penilaian dibuat.
Menurutnya, perkara itu akan diselaraskan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) agar agensi penyelamat dan penduduk tidak berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan bakar kenderaan di lokasi bencana. – UTUSAN