SETIU: Hujan lebat di daerah ini sejak semalam menyebabkan lapan jalan utama ditutup kepada kenderaan ringan dan semua jenis kenderaan bermula malam tadi.
Antara jalan yang ditutup kepada semua kenderaan adalah di Kilometer 24 Jalan Sungai Tong – Kuala Terengganu, Jalan Kampung Buruk – Kampung Nyatoh dan Jalan Permaisuri menuju Besut.
Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Affandi Husain, Jalan Guntung ke Kampung Saujana juga ditenggelami air sedalam 0.76 meter
“Selain itu, Jalan Sungai Bari-Kampung Langkap juga ditutup sejauh 700 meter untuk kegunaan lalu lintas atau dilalui semua jenis kenderaan.
“Manakala Jalan Chalok-Bukit Putera-Telaga Papan dekat Kampung Lubuk Panjang ditutup sejauh 500 meter untuk kenderaan ringan setelah dinaiki air 0.65 meter.
“Jalan Permaisuri-Hulu Seladang dan Jalan Guntung Luar-Kampung Fikri yang ditenggelami air antara 0.3 sehingga 0.45 meter turut ditutup untuk kenderaan ringan,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.
Justeru itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Katanya, orang ramai juga perlu mendapatkan maklumat terkini selain mengutamakan aspek keselamatan ketika musim Monsun Timur Laut sekarang ini. – UTUSAN