KUALA TERENGGANU : Banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sebelum ini pulih sepenuhnya setelah pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung La di Besut dekat sini ditutup secara rasmi, hari ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, PPS tersebut yang masih beroperasi di negeri ini sebelum ini ditutup pada pukul 10 pagi tadi.
“Seramai 22 mangsa daripada lima keluarga yang berada di Masjid Kampung La telah pulang ke rumah masing-masing.
“Rakyat Terengganu bagaimanapun perlu bersiap sedia dengan kemungkinan gelombang banjir seterusnya tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Banjir kali ini yang melanda kesemua lapan daerah di Terengganu disifatkan antara yang terburuk sejak 40 tahun lalu.
Lebih 41,000 penduduk yang terjejas banjir telah dipindahkan ke PPS di lapan daerah di Terengganu sepanjang tempoh banjir kali ini. – UTUSAN