Banjir: Dua ibu berpantang di PPS - Utusan Malaysia

Banjir: Dua ibu berpantang di PPS

NURUL Nadiah Abdul Fatah (kiri) dan Sharina Sabry bersama bayi mereka di PPS SK Bukit Nanas, Kuala Nerus, Terengganu. – Mingguan/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Dua wanita terpaksa berpantang di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Nanas setelah rumah didiami mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Padang Hangus di sini.

Nurul Nadiah Abdul Fatah, 29, berkata, dia tidak me­nyangka hasrat berpantang bersama kakak ipar, Sharina Sabry, 39, di rumah ibu mentua bertukar menjadi pe­ngalaman tidak dapat dilupakan.

Menurutnya yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan, dia pulang ke kampung suaminya di Kampung Padang Hangus setelah melahirkan anak kedua, Muhammad Aa­ron Maleeq, 14 November lalu.

Namun suri rumah yang berpantang hari ke-26 itu berkata, dia dikejutkan de­ngan air deras yang mema­suki rumah sehingga ke ruang tamu dalam kejadian ketika subuh pada Jumaat lepas.

“Lebih kurang sejam hujan lebat dengan air naik setinggi paras lutut menyebabkan saya dan suami, Aswari Sabry, 36, serta 15 ahli keluarga yang lain termasuk ibu dan bapa mentua berpindah ke PPS SK Bukit Nanas.

“Memang saya merancang untuk balik ke rumah ibu mentua kerana kebetulan kakak ipar juga berpantang setelah melahirkan anak ketiganya kira-kira lebih sebulan lalu.

“Walaupun kurang selesa, saya bersyukur kami sekeluarga selamat dan makan minum juga dijaga dengan baik apabila diberi menu berpantang seperti ikan panggang dan sup sayur,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu kakak ipar­nya, Sharina berkata, dia ha­nya memikirkan keselamatan bayinya, Nuh Nabhan Mohd. Hishamudin yang berusia 44 hari, ketika meredah air untuk keluar dari rumah, semalam.

Jelasnya yang juga seorang suri rumah, pengalaman berpindah ke PPS SK Bukit Nanas merupakan yang kedua tahun ini selepas mengalami situasi sama, Mac lalu.

“Memang risau juga banjir kali ini kerana keadaan ibu yang kurang sihat dan adik ipar juga berpantang. Ketika kejadian, saya takut dan bimbang apa-apa berlaku kepada bayi kami.

“Kami tiba awal di PPS ke­rana air naik terlalu cepat dan tiga generasi keluarga saya akan tinggal sementara di sini sambil menunggu cuaca kembali pulih untuk pulang ke rumah.

“Saya tidak menyangka rancangan kami untuk sama-sama berpantang bertukar menjadi pengalaman cemas terutama adik ipar yang pertama kali menghadapi situasi banjir,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya