KUALA TERENGGANU : Situasi banjir di Terengganu semakin pulih dengan jumlah mangsa terus berkurangan kepada 23 orang daripada enam keluarga pada pukul 10 pagi ini berbanding 29 orang daripada lapan keluarga pada 4 petang semalam.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memaklumkan kesemua mereka kini masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, Kuala Terengganu sejak petang Khamis lalu.
“Ketika ini hanya PPS SK Atas Tol sahaja yang masih dibuka di Terengganu setelah 23 mangsa ini masih tidak dibenarkan pulang kerana persekitaran rumah mereka masih digenangi air akibat ‘banjir termenung’.
.
“Bagaimanapun keadaan banjir di kebanyakan tempat pula sudah surut sepenuhnya.
“Cuaca di kebanyakan tempat pagi ini adalah baik, namun hujan renyai dan kadang kala lebat dijangka akan berlaku di beberapa tempat,” katanya dalam kenyataan, pagi ini.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak berada di kawasan pantai, sungai dan tali air bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. – UTUSAN