Banjir di Terengganu semakin buruk, 29,717 mangsa dipindahkan - Utusan Malaysia

Banjir di Terengganu semakin buruk, 29,717 mangsa dipindahkan

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia membantu seorang kanak-kanak berpindah selepas rumahnya dinaiki air di Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Banjir di Terengganu semakin buruk dengan 29,717 mangsa daripada 8,214 keluarga di Terengganu kini berada di 291 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 10 malam ini.

Jumlah mangsa banjir itu mencatatkan peningkatan ketara dalam tempoh enam jam berbanding 19,601 orang daripada 5,699 keluarga pada pukul 4 petang tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, Kemaman menjadi daerah yang paling teruk terjejas dengan 9,717 mangsa daripada 2,497 keluarga di 35 PPS malam ini.

“Ia kenaikan tertinggi berbanding 3,565 orang mangsa daripada 963 keluarga pada petang tadi susulan pembukaan sembilan lagi PPS di daerah tersebut.

“Hulu Terengganu pula merekodkan peningkatan pertambahan mangsa kepada 6,401 orang daripada 1,978 keluarga di 60 PPS berbanding 5,726 orang daripada 1,799 keluarga di 50 PPS petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Selain itu, banjir di daerah Besut juga meningkat kepada 5,492 orang daripada 1,506 keluarga di 84 PPS malam ini berbanding 5,067 orang daripada 1,398 keluarga di 80 PPS sebelum ini.

Tambahnya, banjir di daerah Setiu juga semakin buruk dengan peningkatan mangsa kepada 3,988 orang daripada 1,196 keluarga di 58 PPS berbanding 3,172 orang daripada 1,015 keluarga di 51 PPS petang tadi.

“Daerah Dungun juga mencatat sedikit peningkatan kepada 1,963 orang daripada 527 keluarga di 32 PPS berbanding 1,083 orang daripada 284 keluarga di 23 PPS sebelum ini.

“Limpahan air di Sungai Terengganu lewat petang tadi turut menyebabkan daerah Kuala Terengganu merekodkan peningkatan mangsa kepada 987 orang daripada 241 keluarga di sembilan PPS berbanding 382 orang daripada 91 keluarga di enam PPS pada petang tadi.

“Di Kuala Nerus pula, mangsa turut meningkat kepada 689 orang daripada 160 keluarga di lapan PPS berbanding 302 mangsa daripada 90 keluarga dipindahkan ke tiga PPS sebelum ini,” katanya.

Situasi sama juga berlaku di Marang yang merekodkan sedikit kenaikan jumlah mangsa iaitu 480 orang daripada 108 keluarga di lima PPS berbanding 304 orang daripada 59 keluarga di empat PPS petang tadi.

Ketika ini, pasukan penyelamat masih bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di beberapa kawasan berikutan ramalan air pasang besar tengah malam nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN