KUALA TERENGGANU : Gelombang pertama banjir di Terengganu yang bermula pada pagi Jumaat lalu berakhir setelah semua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup secara rasmi pada pukul 12 tengah hari tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memberitahu, PPS terakhir yang ditutup ialah di Sekolah Kebangsaan Atas Tol, Kuala Terengganu.
“Bagaimanapun, Bahagian Gerakan Bencana Negeri masih dalam keadaan berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan berlakunya banjir gelombang kedua dalam masa terdekat ini,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Banjir gelombang pertama kali ini menyaksikan daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mula dinaiki air pada awal pagi Jumaat lalu sebelum melanda Setiu, Besut, Kemaman dan Dungun.
Jumlah mangsa tertinggi yang direkodkan kali ini ialah 209 orang daripada 55 keluarga pada petang Isnin lalu yang ditempatkan di enam PPS di lima daerah ketika itu.
Banjir yang berlaku di kebanyakan tempat kali ini adalah disebabkan pertembungan serentak air pasang di laut dan taburan hujan yang terlalu tinggi menyebabkan kawasan yang rendah ditenggelami air.
Terdapat dua kematian dilaporkan berlaku dalam gelombang banjir kali ini iaitu seorang kanak-kanak, Muhammad Sufi Eijas Mohd. Sobrey, 3, dari Kampung Telari, Manir di sini dan seorang warga emas, Zakaria Mat Nong, 72, dari Kampung Beris Tok Ku, Setiu. – UTUSAN