Banjir di Terengganu kritikal, 40,456 mangsa dipindah - Utusan Malaysia

Banjir di Terengganu kritikal, 40,456 mangsa dipindah

PEMANDANGAN dari udara menunjukkan banyak rumah ditenggelami air di Kampung Pulau Rusa, Manir, Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Keadaan banjir di Terengganu bertambah kritikal apabila jumlah mangsa banjir  terus meningkat kepada 40,456 orang daripada 11,097 keluarga pada pukul 8 pagi ini.

Meskipun hujan mulai berhenti di kebanyakan tempat, namun trend air sungai dari kawasan hulu yang kini sedang menuju kuala menyebabkan banyak penempatan penduduk dilimpahi air sungai terutama di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Ketika ini, terdapat 299 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi di lapan daerah negeri itu iaitu penambahan lima PPS berbanding 294 PPS malam tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, jumlah mangsa meningkat di enam daerah iaitu Kemaman, Dungun, Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Mangsa banjir di dua lagi daerah iaitu Hulu Terengganu dan Marang, bagaimanapun berkurangan berikutan cuaca yang semakin baik malam tadi.

Menurutnya, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 9,147 orang daripada 2,441 keluarga di 30 PPS berbanding 8,923 orang daripada 2,368 keluarga di 29 PPS sebelum ini.

“Situasi sama berlaku di Besut dengan mangsa terus bertambah kepada 8,536 orang daripada 2,265 keluarga di 88 PPS pagi ini berbanding 8,503 orang daripada 2,274 keluarga di 86 PPS malam tadi.

“Daerah yang turut merekodkan pertambahan mangsa pagi ini ialah di Setiu iaitu 4,352 orang daripada 1,246 keluarga di 52 PPS berbanding 4,196 orang daripada 1,193 keluarga di 53 PPS malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata daerah Dungun pula mencatat peningkatan kepada 4,419 orang daripada 1,239 keluarga di 40 PPS berbanding 4,030 mangsa daripada 1,104 keluarga di 38 PPS sebelum ini.

Katanya, pertambahan mangsa banjir turut berlaku di daerah Kuala Terengganu iaitu seramai 2,777 orang daripada 752 keluarga berbanding 2,541 orang daripada 680 keluarga, namun jumlah PPS kekal sama di 12 lokasi.

“Pertambahan agak ketara berlaku Kuala Nerus kerana mangsa meningkat kepada 3,597 orang daripada 862 keluarga di 16 PPS pagi ini berbanding 1,915 orang daripada 470 keluarga di 12 PPS malam tadi.

“Ia berikutan penambahan empat PPS baharu setelah beberapa kawasan perumahan yang agak besar dilimpahi air Sungai Nerus,” katanya.

Bagaimanapun, di Hulu Terengganu pula, keadaan banjir agak baik dengan mangsa terus berkurangan kepada 5,893 orang daripada 1,952 keluarga di 49 PPS ketika ini berbanding 6,230 orang daripada 2,065 keluarga di 52 PPS malam tadi.

“Situasi sama juga berlaku di Marang yang merekodkan sedikit penurunan kepada 1,735 orang daripada 440 keluarga berbanding 1,741 orang daripada 441 keluarga malam tadi, namun jumlah PPS masih kekal di 12 lokasi pagi ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya