Banjir di Terengganu hampir pulih - Utusan Malaysia

Banjir di Terengganu hampir pulih

SEBAHAGIAN mangsa banjir yang dipindahkan di PPS sebelum ini mula pulang ke rumah masing-masing di Kampung Pinang Merah, Paka, Dungun. Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Keadaan banjir di Terengganu hampir pulih apabila banyak kawasan yang ditenggelami air sebelum ini telah kembali surut dan setakat pagi ini, mangsa yang masih terjejas seramai 5,810 orang daripada 1,651 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, sebanyak 37 pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup secara berperingkat mulai petang semalam menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang masih beroperasi ketika ini hanya di 44 lokasi.

Menurutnya, mangsa tertinggi ialah di daerah Kuala Nerus iaitu seramai 2,210 orang daripada 574 keluarga diikuti Hulu Terengganu (1,288 orang daripada 482 keluarga), Kuala Terengganu (916 orang daripada 259 keluarga) dan Dungun (773 orang daripada 207 keluarga).

“Tiga lagi daerah juga semakin pulih iaitu Besut hanya 421 orang mangsa daripada 105 keluarga, Setiu (126 orang daripada 23 keluarga) dan Marang yang melibatkan satu PPS untuk 76 orang penghuni madrasah,” katanya dalam satu kenyataan,sebentar tadi.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada sungai yang melepasi paras bahaya setakat pukul 8 pagi ini.

Cuaca juga diramal cerah di kebanyakan tempat di Terengganu hari ini.

Ketika ini, fokus bantuan jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu mangsa banjir melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah-rumah kediaman, sekolah dan institusi kerajaan yang terjejas teruk. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya