KUALA TERENGGANU : Banjir di Terengganu bertambah teruk dengan jumlah mangsa terus meningkat lebih sekali ganda kepada 11,415 orang daripada 3,326 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 5,494 orang daripada 1,627 keluarga pada 10 malam tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) turut bertambah kepada 174 lokasi di tujuh daerah berbanding 103 lokasi malam tadi.
Menurutnya, daerah paling teruk terjejas iaitu Hulu Terengganu terus merekodkan peningkatan jumlah mangsa kepada 3,998 orang daripada 1,276 keluarga di 45 PPS berbanding 2,207 mangsa daripada 732 keluarga di 34 PPS sebelum ini.
“Begitu juga di Besut, jumlah mangsa terus meningkat kepada 3,765 orang daripada 1,040 keluarga berbanding 1,712 orang daripada 461 keluarga malam tadi.
“Terdapat 25 PPS baharu dibuka di daerah Besut sejak malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi ketika ini ialah di 65 lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Banjir di daerah Setiu juga bertambah buruk dengan peningkatan mangsa kepada 2,157 orang daripada 632 keluarga di 38 PPS pagi ini berbanding 725 orang daripada 227 keluarga di 11 PPS malam tadi.
Tambahnya, situasi sama juga berlaku di Kemaman apabila jumlah mangsa terus meningkat kepada 1,008 orang daripada 277 keluarga berbanding di 12 PPS berbanding 598 orang daripada 146 keluarga di tujuh PPS sebelum ini.
“Begitu juga di Dungun, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 355 orang daripada 84 keluarga di 11 PPS berbanding 196 mangsa daripada 46 keluarga di sembilan PPS malam tadi.
“Marang pula merekodkan kenaikan jumlah mangsa iaitu 119 orang daripada 14 keluarga di dua PPS berbanding hanya 43 mangsa daripada 12 keluarga di satu PPS sebelum ini.
“Bagaimanapun jumlah mangsa di Kuala Terengganu kekal tidak berubah dengan hanya 13 mangsa daripada tiga keluarga masih ditempatkan di sebuah PPS,” katanya.
Ketika ini, hujan lebat berterusan masih berlaku di kebanyakan tempat di Terengganu dan proses pemindahan mangsa yang terjejas banjir juga masih diteruskan pasukan penyelamat. – UTUSAN