KOTA BHARU: Situasi banjir di dua kawasan iaitu Rantau Panjang dan Pasir Mas bertambah teruk apabila seramai 1,943 mangsa daripada 606 keluarga ditempatkan di tujuh buah pusat pemindahan sementara (PPS).
Daripada tujuh PPS itu, lima berada di Rantau Panjang dan selebihnya di Pasir Mas.
Menurut laporan laman sesawang infobencanajkmv2.jkm.gov.my setakat pukul 8.30 pagi, PPS di Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Rantau Panjang menempatkan jumlah mangsa banjir paling tinggi iaitu seramai 704 orang.
Ini diikuti SK Gual Perok (532), SK Kubang Kual (212), PPS Putat 7 (157), Masjid Mukim Padang Licin (68).
Sementara itu di Pasir Mas, SK Sri Kiambang menempatkan seramai 231 orang mangsa sementara SK Kedai Tanjong 39 mangsa.
Menurut aplikasi MyPublic Infobanjir, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang sudah mulai turun dan berada pada 9.41 meter, namun masih melepasi tahap amaran. – UTUSAN