KUANTAN: Hujan lebat sejak semalam menyebabkan negeri ini kembali dilanda banjir apabila 594 daripada 132 buah keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Kuantan dan Raub.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, empat PPS di daerah Kuantan mula dibuka pada pagi ini menempatkan seramai 554 mangsa daripada 119 buah keluarga.
“Mangsa terbabit iaitu 226 orang daripada 50 buah keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah, 67 orang (20 keluarga) di SK Sungai Karang, PPS Sungai Ular menempatkan seramai 16 mangsa (empat keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung seramai 185 mangsa (45 keluarga).
“Di Raub mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Pia, Dong sejak pagi semalam, iaitu seramai 40 orang daripada 13 buah keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Che Adam menjelaskan paras air Sungai Keratong, Jalan Kota Bahagia, daerah Rompin masih naik dan menunjukkan trend amaran berbahaya di paras ketinggian 11.76 pada pukul 8 pagi hari ini, manakala dua batang sungai di daerah Raub, iaitu Sungai Dong dan dan Sungai Lipis dalam keadaan trend amaran, manakala tujuh sungai lagi di Lipis, Bera dan Kuantan peringkat waspada.
Beliau berkata, keadaan cuaca pagi ini tiada hujan, tetapi hujan dan ribut petir kembali berlaku di beberapa tempat di sebelah petang dan malam.
“Penduduk di pesisir Sungai Pahang dan anak sungai perlu berwaspada serta kerap mendapatkan maklumat yang sahih tentang keadaan banjir pada setiap hari daripada anggota APM yang bertugas dan pihak berkuasa beruniform lain,” ujarnya. – UTUSAN