Banjir di lima negeri terkawal

Banjir di lima negeri terkawal

SEORANG nelayan menjala ikan di pesisir pantai dalam keadaan laut bergelora berikutan bermulanya Monsun Timur Laut sehingga Mac tahun depan di Pantai Pandak, Chendering, Terengganu, semalam. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Kelantan memaklumkan situasi banjir yang melanda Pasir Mas dan Rantau Panjang ketika ini masih terkawal.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, banjir pada tahap serius berlaku apabila air sungai Kelantan dari kawasan hulu turun ke kawasan hilir.

Katanya, banjir peringkat awal ini berlaku disebabkan taburan hujan berterusan dan air mula surut apabila cuaca kembali berada dalam keadaan baik.

“Sudah menjadi amalan kerajaan negeri untuk membuat persediaan menghadapi bencana banjir seawal bulan Oktober pada setiap tahun termasuk mengenal pasti pangkalan hadapan di setiap jajahan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, pangkalan hadapan turut merangkumi pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.

Katanya, pada masa sama, bahan-bahan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir juga disiapkan sejak awal melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kelengkapan untuk kerja-kerja menyelamat mangsa banjir termasuk bot-bot penyelamat juga disediakan awal. Jadi apabila berlaku bencana banjir, aset-aset ini digerakkan dalam kadar segera.

“Selain itu, bagi bantuan kewangan kepada mangsa, ia diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan kerana banjir ini di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.

Di TERENGGANU, gelombang pertama banjir yang bermula pada pagi Jumaat lalu berakhir setelah semua PPS ditutup secara rasmi pada pukul 12 tengah hari semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memberitahu, PPS terakhir yang ditutup ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, Kuala Terengganu.

“Bagaimanapun, Bahagian Gerakan Bencana Negeri masih dalam keadaan berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan berlakunya banjir gelombang kedua dalam masa terdekat ini,” jelasnya.

Banjir gelombang pertama kali ini menyaksikan daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dinaiki air pada awal pagi Jumaat lalu sebelum melanda Setiu, Besut, Kemaman dan Dungun.

Jumlah mangsa tertinggi yang direkodkan kali ini ialah 209 orang daripada 55 keluarga pada petang Isnin lalu yang ditempatkan di enam PPS di lima daerah ketika itu.

Banjir yang berlaku di kebanyakan tempat kali ini adalah disebabkan pertembungan serentak air pasang di laut dan taburan hujan yang terlalu tinggi menyebabkan kawasan yang rendah ditenggelami air.

Terdapat dua kematian dilaporkan berlaku dalam gelombang banjir kali ini iaitu seorang kanak-kanak, Muhammad Sufi Eijas Mohd. Sobrey, 3, dari Kampung Telari, Manir dan seorang warga emas, Zakaria Mat Nong, 72, dari Kampung Beris Tok Ku, Setiu.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir mencatat sedikit penurunan semalam kepada 114 orang berbanding 127 kelmarin.

Setakat pukul 2 petang, sebanyak 80 mangsa banjir di Hilir Perak masih ditempatkan di Dewan Sekolah Menengah Abd. Rahman Taib, Batu 4.

Mangsa yang ditempatkan di situ terdiri daripada penduduk dari Kampung Batu 7 Lorong Mesra, Batu 9, Lorong Sidang Osman, Batu 8, Lorong Kedah Batu 8, Batu 7 Ganda dan Kampung Selat Manggis.

Sebanyak 28 mangsa di Daerah Manjung masih ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai manakala di Daerah Perak Tengah, enam mangsa ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Teluk Memali.

Sementara itu, sebuah PPS di Daerah Muallim di Dewan Sekolah Kebangsaan Slim River yang sebelum ini menempatkan 14 orang mangsa, ditutup pada pukul 10 pagi setelah banjir yang melanda kampung mereka di Transit Orang Asli PKD Muallim pulih sepenuhnya.

Di JOHOR, seramai 129 mangsa daripada 35 keluarga dipindahkan ke empat PPS di Johor, setakat pukul 2 petang.

Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor, empat PPS dibuka melibatkan masing-masing dua daerah iaitu Segamat dan Kota Tinggi.

Di PAHANG pula, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkurangan daripada 433 orang kelmarin kepada 309 orang setakat pukul 4 petang semalam.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, sebuah PPS ditutup di Bera iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Buntar setelah 18 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Dalam pada itu, berlaku banjir kilat di laluan Jalan Kula Lumpur- Kuantan berhampiran simpang Sentoria Gambang dinaiki air sekitar pukul 8 pagi semalam bagaimanapun laluan terbabit dibuka semula untuk semua jenis kenderaan pukul 9.45 pagi setelah banjir kilat surut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya