Badut ceriakan mangsa banjir di PPS - Utusan Malaysia

Badut ceriakan mangsa banjir di PPS

SEKUMPULAN badut membuat persembahan menceriakan mangsa banjir di PPS SK Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Kehadiran sekumpulan badut menceriakan mangsa banjir terutama golongan kanak-kanak di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak di sini, hari ini.

Pelbagai aktiviti yang diadakan seperti menyanyi dan menari oleh badut tersebut berjaya menghiburkan kesedihan yang dialami kanak-kanak di PPS itu berikutan banjir besar yang menenggelamkan rumah mereka ketika ini.

Inisiatif membawa badut itu adalah hasil kerjasama sekumpulan anak muda dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung tenaga iaitu Experience Terengganu, Kelab Media Eksplorasi Terengganu, Kimjay Empire, 8forAid dan #gengtamakpahala.

Wakil sukarelawan, Halimatu Sa’adiah Ab. Wahab berkata, tujuan mereka adalah untuk menceriakan mangsa banjir yang berada di PPS sekaligus menunjukkan keprihatinan orang ramai dengan penderitaan yang mereka lalui.

“Kami bergerak sejak Rabu lalu untuk menceriakan mangsa banjir di beberapa PPS sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selain itu, menurutnya, pihaknya juga menjayakan projek dapur panas bergerak untuk membantu menyediakan makanan kepada mangsa banjir di PPS terlibat.

“Seronok dapat lihat senyuman yang terukir di wajah mangsa banjir terutama warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu mengandung dan kanak-kanak apabila dipelawa untuk menjamah makanan yang kami sediakan dan melihat persembahan badut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambahnya, mereka mahu mencipta kelainan dengan memasak beberapa masakan panas untuk hidangan minum petang dan malam mangsa di PPS antaranya Maggi, sup ayam dan kuih tradisional yang digoreng panas di lokasi.

“Alhamdulillah, inisiatif ini disambut baik oleh mangsa banjir. Makanan yang dibawa ini disediakan di atas lori, masih panas lagi sesuai dimakan dalam keadaan cuaca yang masih sejuk ketika musim tengkujuh ini,” katanya.

Tambahnya, peruntukan untuk projek dapur panas bergerak itu diperolehi dari kutipan dana pelbagai pihak yang bersimpati dengan nasib mangsa banjir kali ini.

“Sebenarnya, semua makanan dan keperluan asas mangsa banjir di PPS adalah sangat mencukupi, cuma kami menyediakan kopi O panas, Maggi, sup ayam cicah roti dan untuk kanak-kanak pula, kami gembirakan mereka dengan aiskrim,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya