Aura rock kental Konsert Barbarik - Pentas Keras - Utusan Malaysia

Aura rock kental Konsert Barbarik – Pentas Keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Impian peminat untuk menyaksikan penyatuan penggiat muzik rock yang disegani terlaksana menerusi konsert Barbarik – Pentas Keras yang menggegarkan Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.

Konsert dua jam setengah itu menyaksikan dua ikon rock iaitu bekas gitaris kumpulan Wings, Joe Branko bergabung dengan keampuhan vokal Muss yang pernah menjadi vokalis kumpulan May, sekali gus melakar kenangan yang membekas dalam ingatan peminat.

Muss dalam ucapannya bersyukur apabila konsert yang dirancang sekian lama itu dapat direalisasikan.

“Alhamdulillah, saya masih dikurniakan tenaga. Itu yang ingin kami sampaikan pada malam ini untuk kepuasan anda semua.

“Konsert ini sudah lama kami rancang, hanya menunggu masa sesuai selepas Covid-19. Anda semua datang untuk menyaksikan sebuah persembahan yang ditunggu-tunggu dan menjadi sebahagian daripada sejarah ini,” katanya.

Muss membuka tirai konsert dengan persembahan lima lagu bermula Penunggu, Wayang Sulit, Julang Timur Tengah, Enigma dan Delilah yang dipersembahkan penuh bertenaga.

Penyanyi berasal dari Ipoh, Perak itu turut mengambil kesempatan mengalu-alukan kehadiran peminat sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Biru Mata Hitamku dan Hati Sulam Lain.

Peminat terus terpaku dengan kemantapan vokal penyanyi berusia 54 tahun itu ketika meneruskan perjalanan konsert dengan mempersembahkan dua lagu berhantu, 1800 Sayap dan Gegar Gunung Gemora.

Kemunculan Mael XPDC disambut sorakan gemuruh peminat. Pemilik nama sebenar, Syed Ismail Syed Ibrahim itu mencetuskan fenomena apabila bergabung suara dengan Muss membawakan Nasib Kita.

Keghairahan peminat memuncak pada saat Muss meneruskan nyanyian solo, Bukan Matahari.

Pentas Zepp dihangatkan lagi dengan kemunculan vokalis kumpulan Def Gab C, Asheed yang bergabung kekuatan vokal bersama Muss menyampaikan Singa Dan Harimau.

Kemunculan bekas vokalis kumpulan Wings, Mel turut dinantikan peminat yang sekian lama menanti penyanyi itu beraksi dalam sebuah konsert mega. Dia menyengat dengan lagu Sapu Tangan.

Impian peminat untuk menyaksikan dua vokalis hebat, Muss dan Mel bergabung atas pentas tercapai apabila mereka mempersembahkan Semalam Yang Hangat secara duet.

Pecutan akhir konsert itu menyaksikan Muss ‘menggila’ dengan persembahan Teater Mahamega, Blues Ular Sawa dan Padam Lampu Tidurmu.

Sebelum menutup konsert dengan lagu berhantu, Keris Tak Ada Sarung, Muss sempat menyuarakan penghargaan buat peminat tegar muzik rock.

“Terima kasih kepada anda yang datang, membeli tiket, isi minyak, bayar tol dan tempat letak kereta semata-mata untuk menyokong kami.

“Terima kasih tidak terhingga untuk anda yang menyokong industri muzik,” ucapnya.

Konsert itu diiringi pemuzik hebat seperti Ainoll (dram), Adi Yamin (keyboard) dan Rozaimie (gitar).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya