PONTIAN: Pasangan adik beradik tidak menyangka kehilangan orang tersayang dalam sekelip mata disebabkan oleh kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV).
Mismah Taslim, 63, dan Ruslina Taslim, 60, masing-masing kehilangan suami, Hasan Ayob, 66 dan Abd. Rashid Abd. Malek, 63, ketika bersama-sama menunggang ATV di Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas di sini, petang semalam.
Mismah berkata, suaminya, Hasan bekas pesara polis menemami adik iparnya, Abd. Rashid mengelilingi kampung menggunakan ATV yang baru dibeli oleh Abd. Rashid semalam.
Katanya, dia merasa tidak senang hati kerana kedua-duanya masih belum pulang setelah hampir satu jam keluar dari rumahnya di Lorong Adnan, Kampung Sri Gambut.
“Sejurus selepas itu, ada penduduk kampung memberitahu mengenai kedua-dua mereka terjatuh ke dalam parit bersama kenderaan ATV yang ditunggangi itu,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Pontian, malam tadi.
Mengikut fakta kes, kemalangan berlaku pada kira-kira pukul 6.20 petang semalam ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Jalan Adnan, Kampung Sri Gambut.
Ketika sampai di lokasi kejadian, Abd. Rashid dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan terjatuh ke dalam parit yang berair dengan keadaan mangsa berada di bawah ATV
Dalam masa yang sama, Hasan Ayob cuba membantu namun gagal mengalihkan ATV yang menindih Abd. Rashid disebabkan berat dan paras air parit pada bahagian pinggang.
“Akibat kemalangan tersebut, Abd. Rashid dipercayai lemas manakala Hasan dipercayai keletihan dan kedua-dua mangsa dihantar ke Forensik Hospital Pontian untuk tindakan lanjut.
Tambah Mismah, tiada sebarang perubahan berlaku ke atas suaminya yang biasa menggunakan kenderaan ATV untuk mengelilingi kawasan kampung apabila balik ke rumahnya.
“Kami tinggal di Taman Kobena, Johor Bahru dan rumah yang dibina di Kampung Seri Gambut dijadikan sebagai ‘homestay’ apabila balik pada hujung minggu dan cuti umum,” ujarnya yang mempunyai empat orang anak.
Katanya, adik iparnya (Abd. Rashid) yang merupakan pesara Jabatan Kesihatan juga membina rumah di sebelah rumah mereka namun belum siap sepenuhnya dan telah tiga minggu tinggal bersamanya.
Rumah tersebut yang dibina dengan kos kira-kira RM180,000 hampir siap sepenuhnya dan pagi semalam suaminya pergi membeli cat di bandar Pekan Nanas.
“Macam rasa terkilan juga kerana rumah ini belum dapat disiapkan untuk kami jadikan juga sebagai rumah singgah apabila pulang ke kampung kerana kami tinggal di Taman Ixora, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang,” katanya. –UTUSAN