HULU SELANGOR: Operasi mencari mangsa insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm (FoF) tidak pernah berhenti malah pelbagai usaha dilakukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sejak hari pertama sehingga hari ke enam operasi.
Terbaharu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil inisiatif dengan melaungkan azan dilokasi pencarian sebagai alternatif memohon urusan pencarian dipermudahkan.
Bagi, Mohd. Iqmal Kamaruddin, 29, ini merupakan pengalaman pertamanya melaungkan azan di lokasi bencana sepanjang bergelar anggota JBPM.
Mohd. Iqmal yang bertugas di cawangan pendakwaan JBPM Selangor, tidak menyangka bahawa dia diberikan tugasan untuk melaungkan azan selepas tiga jam operasi SAR pada hari keenam diteruskan hari ini.
Katanya, alternatif melaungkan azan berkenaan merupakan hasil perbincangan dengan pegawai kanan dalam pos kawalan hadapan (PKH) di mana mereka merasakan keperluan untuk melaungkan azan di lokasi.
“Kita tidak pernah lagi azan di lapangan dan mereka merasakan mungkin ini salah satu cara kerana kita tahu azan ini bukan panggil orang solat sahaja tetapi untuk cari orang hilang kalau sesat.
“Jadi pegawai PKH kata kenapa tidak hari ini kita azan di lapangan, untuk mudahkan lagi urusan kita doa dulu kemudian azan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, di sini, petang tadi.
Tambahnya, selepas azan dilaungkan sekitar pukul 11 pagi, pasukan SAR kemudiannya menjumpai mayat mangsa ke-26 di sektor B (Farmside).
Terdahulu media melaporkan mayat mangsa ke-26 yang merupakan lelaki dewasa ditemui pasukan SAR pada pukul 11.19 pagi berpelukan dengan salah seekor anjing dipercayai miliknya.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat, bagaimanapun operasi SAR terpaksa dihentikan sekitar pukul 2.30 petang tadi ekoran hujan lebat.
Jumaat lalu, media melaporkan tragedi tanah runtuh melibatkan tapak perkemahan FOF melibatkan 94 mangsa sekitar pukul 2.42 pagi.
Sehingga kini, 61 mangsa dilaporkan selamat manakala 26 lagi disahkan terkorban dan tujuh lagi masih hilang. – UTUSAN