HULU TERENGGANU: Sepasang suami isteri warga emas bimbang terhadap ancaman hakisan tanah di belakang rumah mereka di Kampung Lubuk Erong, di sini, berikutan hujan lebat, baru-baru ini.
Kemuncak kejadian hakisan tersebut berlaku pada 19 Disember lalu sehingga mengakibatkan dapur rumah Tuan Dahlan Tuan Endut, 69, dan Cheku Fatimah Cheku Yatim, 65, berisiko runtuh pada bila-bila masa.
Tuan Dahlan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, dia dan isteri hanya mampu berdoa setelah terdengar sebatang demi sebatang pokok tumbang bersama hakisan tanah ekoran arus air di alur Kuala Menuang terlalu deras.
“Tengkujuh tahun 2004 dulu pernah berlaku tanah runtuh di kawasan rumah saya ini sehingga sebahagian rumah terutama dapur runtuh. Tidak sangka kejadian ini berulang.
“Kali ini hampir 10 pokok di kawasan rumah termasuk lima pokok duku dan sebatang pokok kelapa tumbang setelah tanah runtuh dianggarkan sepanjang lebih 50 meter serta lebar kira-kira 10 meter.
“Keadaan ini merisaukan kami suami isteri sekiranya hakisan terus berlaku apatah lagi musim tengkujuh belum berakhir. Kami sendiri tidak tahu cara boleh dilakukan bagi atasi masalah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Tuan Dahlan yang bekerja sendiri berkata, kawasan alur Kuala Menuang di belakang rumahnya itu kering jika di luar musim tengkujuh namun bertukar menjadi ‘sungai’ akibat aliran air dari Sungai Telemong dan Sungai Chepoh.
“Kedua-dua aliran sungai itu masuk ke alur Kuala Menuang sebelum keluar ke sungai utama iaitu Sungai Terengganu dan keadaan itulah menyebabkan belakang rumah saya bertukar jadi sungai dengan arus deras,” ujarnya. – UTUSAN