SEPANG: Bapa kepada remaja hilang, Salsabila Putri Md. Nasir, 13, mendedahkan anaknya itu tidak pernah keluar rumah berseorangan kecuali ditemani ahli keluarga.
Md. Nasir Abdul Rahim, 58, ketika dihubungi berkata, kebiasaannya dia atau ibunya akan menemaninya keluar.
“Ketika keluar dari inap desa pada awal pagi Ahad lalu, Salsabila tidak bawa bersama beg pakaian, wang tunai dan pengecas telefon bimbit.
“Rasanya mungkin dia (Salsabila) mahu keluar sekejap sahaja sebab dia sengaja sendal pintu rumah dengan kasut supaya tidak berkunci.
“Pintu rumah itu ada kata laluan dan dia tidak tahu kata laluan itu,” katanya.
Katanya, dia sekeluarga berharap Salsabila ditemui segera dalam keadaan selamat dan pada masa sama, menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis bagi mengesan anaknya itu.
Md. Nasir berkata, anaknya itu banyak menghabiskan masa di rumah dengan bermain permainan secara dalam talian, malah suka bersendiri di dalam bilik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya sudah memanggil empat orang saksi bagi memberi keterangan.
“Mereka termasuk ahli keluarga mangsa termasuk ibu, ayah, abang dan kakak mangsa.
“Buat masa ini, kami tengah mengesan mangsa dan tiada maklumat diperoleh setakat ini,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi Ahad lalu, remaja perempuan, Salsabila Putri dikatakan hilang selepas keluar daripada sebuah inap desa di Taman Salak Maju, di sini.
Remaja itu dipercayai mengikuti dua orang lelaki tidak dikenali yang menaiki dua buah motosikal.
Ketika hilang, mangsa memakai pakaian serba hitam selain mengenakan pelitup muka dan berkasut warna kelabu dan mangsa juga berketinggian 160 sentimeter (cm) dan berat anggaran 45 kilogram (kg). – UTUSAN