Air pasang besar sehingga 28 Disember di Kedah - Utusan Malaysia

Air pasang besar sehingga 28 Disember di Kedah

MOHD. Muaz Mohd. Yusoff (kanan) memantau anggota APM mempersiapkan barangan yang diperlukan bagi membantu mangsa banjir di pantai timur sebelum merasmikan Pelepasan Misi Bantuan ke Pantai Timur di Pejabat APM Kota Setar di Alor Setar. -UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Fenomena air pasang besar dijangka berlaku di pesisir pantai di negeri ini sehingga ke paras 3.3 meter di sesetengah lokasi selama seminggu bermula esok hingga 28 Disember depan.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd. Muaz Mohd. Yusoff berkata, fenomena tersebut turut dijangka membawa kepada banjir di kawasan rendah berhampiran pantai.

“Kami baru bermesyuarat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan dimaklumkan akan berlaku fenomena air pasang besar di pesisiran pantai di Kedah. Justeru, orang ramai yang tinggal berhampiran pantai diminta supaya sentiasa berjaga-jaga.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga maklumkan agar berjaga-jaga sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini. Kalau hujan dan dalam masa sama berlaku air pasang besar, kita perlu lebih berjaga-jaga kerana terdapat risiko air naik di kawasan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pelepasan Misi Bantuan ke Pantai Timur di Pejabat APM Kota Setar di sini, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah menasihatkan pengunjung yang hadir ke pantai-pantai terutamanya pada musim cuti sekolah ketika ini agar sentiasa berhati-hati serta peka terhadap keadaan sekeliling.

Katanya, pengawal pantai APM yang beroperasi di lima kawasan dalam negeri ini akan menaikkan bendera merah sekiranya keadaan tidak selamat untuk orang ramai turun ke pantai demi keselamatan semua pihak.

“Kalau bendera merah sudah dinaikkan, kita harap tiada pengunjung yang berdegil untuk tetap mandi-manda di pesisir pantai. Kita tak mahu berlaku kejadian tidak diingini apatah lagi dengan kemasukan pengunjung yang ramai ke pantai-pantai terutamanya di Langkawi ketika ini.

“Jangan ambil risiko dan sila jaga keselamatan ahli keluarga masing-masing pada waktu cuti sekolah ini,” katanya.

Dalam pada itu, empat daerah iaitu Baling, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu diberikan lebih tumpuan oleh APM Kedah bagi menghadapi sebarang risiko bencana dalam menghadapi MTL.

Keempat-empat kawasan tersebut diberi lebih perhatian bersandarkan kepada rekod bencana sebelum ini melibatkan kekerapan banjir dan tahap kerosakan mahupun kemusnahan yang berlaku. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya