ROMPIN: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beliau yakin pihak di ‘belah sana’ seperti mana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dananya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu datang dari syarikat perjudian yang terlibat cabutan khas judi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak menuduh tapi yakin ia salah satu sumbernya kerana kerajaan terdahulu di bawah pihak di ‘belah sana’ yang turut dipegang oleh parti Islam sudah meluluskan cabutan judi kepada 22 kali setahun.
“Saya syak duit itu untuk membiayai aktiviti terutama membeli pengaruh dalam pilihan raya umum lalu,” katanya ketika berucap pada Program Himpunan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Terbuka Rompin di sini hari ini.
Semalam, Anwar dalam sidang akhbarnya di Putrajaya membayangkan sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.
“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.
“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” kata Perdana Menteri semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau juga telah ‘kena’ sebagai calon BN di Parlimen Bagan Datuk pada PRU15, 19 November lalu.
“Dari Perlis turun ke Kedah, turun ke Pulau Pinang, turun ke Perak, hanya dua Parlimen kita menang iaitu di Lenggong dan Bagan Datuk, mereka cuba sapu bersih kita.
“Bila sumber kewangan yang hampir pasti bukan sumber kewangan yang halal, mereka tak dapat bentuk kerajaan, Allah SWT tidak mengizinkan bentuk kerajaan dengan sumber kewangan begitu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tahu PN ada membawa kemudaratan.
“Tapi saya berterima kasih kepada ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, hampir 100 peratus beri dukungan kita harus bersama PH atas nama kerajaan perpaduan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Atas harapan itulah, saya rasa kita jangan pandang hari ini atau esok, kita pandang lima tahun, 10 tahun dan 20 tahun dari sekarang walaupun waktu itu saya hanya dapat diberi sedekah al-Fatihah sahaja.
“Saya yakin keputusan itu (bersama PH) tidak pernah salah supaya UMNO dan BN terus relevan di persada politik tanah air,” katanya. – UTUSAN