PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri tetap akan memperjuangkan idea penubuhan hab pendidikan khas yang menjadi antara agenda utamanya ketika bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad yang bertanding atas tiket Pejuang berharap idea tersebut dapat direalisasikan, walaupun gagal mendapat mandat rakyat untuk mewakili mereka di Parlimen Port Dickson.
“Isu pendidikan khas ini sangat kritikal dan perlukan penyelesaian jangka masa panjang. Penubuhan sekolah khas yang menggabungkan semua masalah pembelajaran dalam kalangan murid yang menghidap disleksia, autisme, sindrom down dan banyak lagi adalah di peringkat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
“Ia berada di bawah tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat,” katanya ketika dihubungi menerusi WhatsApp.
Ahmad Idham sebelum ini, memasang impian untuk menjadikan Port Dickson sebagai hab pendidikan khas dan bandar pelancongan mesra orang kurang upaya (OKU).
Bagi merealisasikan hasrat itu, dia memilih bandar Springhill untuk dijadikan lokasi pertama pembinaan pusat intervensi awal bagi kanak-kanak istimewa dan pembelajaran khas.
Ahmad Idham tidak bercakap kosong kerana sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan memilih Springhill sebagai lokasi paling sesuai.
Pengarah filem Pencuri Hati Mr. Cinderella (2017) ini juga berpengalaman menubuhkan sekolah tersebut di Kuala Lumpur dan Sabah serta mempunyai lesen untuk beroperasi.