KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching sedia berkhidmat dalam membantu meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor perladangan dan komoditi di negara ini.
Siti Aminah yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kementerian tersebut bertanggungjawab terhadap pembangunan industri komoditi utama negara seperti minyak sawit, getah, kayu, koko dan tembakau yang menyaksikan penglibatan Sabah secara langsung dalam pengeluaran komoditi berkenaan.
“Tanggungjawab yang diamanahkan ini akan saya galas dengan sebaiknya agar pembangunan sektor perladangan dan komoditi berkembang secara mampan dan mampu meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat khususnya di Sabah yang merupakan sebuah negeri pertanian.
“Sudah tentu tumpuan kita selaras dengan visi kementerian ini antaranya meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor perladangan dan komoditi bagi memperkukuhkan dan memperluaskan pasaran tempatan serta antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tumpuan turut diberikan dalam meningkatkan sumbangan sektor perladangan dan komoditi dalam pembangunan sosio-ekonomi serta pertumbuhan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Timbalan Ketua Bahagian UMNO Beaufort itu berkata, beliau amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komiditi.
Siti Aminah juga melihat barisan lengkap Jemaah Kabinet Kerajaan Perpaduan yang dibentuk itu membolehkan Malaysia kembali ke era kegemilangannya.
Beliau antara tujuh ahli Parlimen dari Sabah yang dilantik sebagai timbalan menteri.
Enam ahli Parlimen lain ialah Chan Foong Hin (Kota Kinabalu) dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan) sebagai Timbalan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi; Mohamad Alamin (Kimanis) dilantik Timbalan Menteri Luar Negeri, Khairul Firdaus Akhbar Khan (Batu Sapi) dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya; serta Mustapha Sakmud (Sepanggar) dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Sebelum ini, dua ahli Parlimen dari Sabah turut diumumkan sebagai menteri iaitu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (Penampang) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah & Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali (Papar). – UTUSAN